KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd telah mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2025 Malaysia pada 5.0 peratus, berdasarkan andaian global yang menjurus kepada keadaan “Goldilocks” berikutan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).
Firma penyelidikan itu melalui satu nota hari ini berkata langkah Trump ke dalam Rumah Putih mungkin terus menyokong pertumbuhan yang berpusatkan AS di tengah-tengah potensi ketegangan geopolitik yang semakin meruncing ke 2025.
“Sebaliknya, kami kekal berwaspada mengenai ketidakstabilan jangka pendek, walaupun berpendapat daya tahan pertumbuhan global akan berterusan sehingga 2025,” katanya.
“Kami kekal positif tentang pertumbuhan Malaysia menjelang 2025; kami melihat sedikit kesan negatif langsung terhadap prognosis perdagangan Malaysia, dengan kesan tarif adalah terhad, sekali gus diterjemahkan kepada pengurangan risiko inflasi,” katanya.
Secara berasingan, RHB Investment Bank berkata inflasi Malaysia berkemungkinan berpurata 2.7 peratus pada 2025; trajektori harga mungkin akan mempengaruhi dasar domestik termasuk rasionalisasi RON95 dan gaji minimum yang lebih tinggi, manakala imbuhan perkhidmatan awam yang lebih baik mungkin memberi kesan kepada tekanan harga tarikan-permintaan yang lebih kuat.
“Kami melihat beberapa kemungkinan kesan utama terhadap ekonomi Malaysia berdasarkan unjuran kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS,” tambahnya.
Mengenai gangguan perdagangan dan peralihan dalam rantaian bekalan, firma penyelidikan itu menjangkakan kesan langsung daripada dasar perlindungan Trump adalah minimum kepada sektor berorientasikan eksport Malaysia. Bagaimanapun, limpahan impak melalui China boleh menjadi besar.
“Sebagai pembekal utama dalam rantaian bekalan berpusatkan China, Malaysia mungkin mengalami kesan negatif yang lebih besar daripada saluran tidak langsung memandangkan barangan China berkemungkinan menghadapi tarif AS.
“Akan ada kesan ke atas eksport Malaysia, terutamanya yang membabitkan komponen sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang disepadukan ke dalam proses pembuatan China, ini menyumbang secara ketara kepada eksport Malaysia,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, RHB Investment Bank berkata Malaysia mungkin mahu mengukuhkan hubungan dengan blok ekonomi lain bagi mempelbagaikan pendedahan perdagangannya seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), BRICS, dan ASEAN.
“Perkongsian ini boleh membantu Malaysia membina hubungan perdagangan yang lebih mantap dalam Asia, sebahagiannya bagi mengimbangi potensi kerugian dalam akses pasaran AS,” tambahnya.
Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan pilihan raya presiden AS tidak akan memberi kesan kepada industri minyak dan gas global.
Ia percaya bahawa pendekatan seimbang dalam pengeluaran bahan api konvensional dan boleh baharu akan mampu mengekalkan harga minyak pada tahap terbaik.
Katanya, bagaimanapun, OPEC+ kekal sebagai pembuat keputusan utama dalam mengimbangi semula harga minyak mentah yang lebih rendah sekiranya AS memilih untuk meningkatkan pengeluarannya dalam masa terdekat.
“Memandangkan impak yang berbeza-beza daripada kedua-dua pihak, kami berpendapat bahawa syarikat bersepadu akan mendapat manfaat daripada mana-mana calon presiden, dan dasar masing-masing mengenai sektor tenaga global, sambil mengharungi risiko penurunan pergerakan minyak yang tidak menentu,” katanya.
Sementara itu, sebuah syarikat penyelidikan dan perisikan tenaga global, Rystad Energy berkata harga minyak masih belum menunjukkan pergerakan ketara berikutan kemenangan Trump.
Ketua Pasaran Komoditi Globalnya - Minyak, Mukesh Sahdev berkata ketika pasaran mengemudi halangan politik dan geopolitik yang berubah-ubah, harga minyak kekal di bawah tekanan daripada gangguan rantaian bekalan yang berterusan serta pemulihan makroekonomi yang lembap.
“Menambahkan kerumitan ini, dolar US yang semakin kukuh, dirangsang oleh kembalinya Trump ke pejabat, menyebabkan peserta pasaran minyak bergelut dengan ketidaktentuan berkaitan pilihan raya yang hanya boleh dilihat dalam beberapa bulan akan datang.
“Berikutan kepulangan Trump ke Rumah Putih, pemain pasaran minyak tidak sabar-sabar menjangkakan apa yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata ketika sistem politik AS berada di persimpangan, dengan potensi penggal kedua Trump ditetapkan sama ada untuk memacu perubahan ketara dalam dasar AS atau mengukuhkan dasar sedia ada, kedua-dua hasil akan membawa implikasi kepada pasaran minyak global menjelang 2025.
“Tanpa mengambil kira ketidaktentuan geopolitik dan keputusan pilihan raya baru-baru ini, trend berterusan dalam pasaran minyak berkemungkinan membentuk prospek ke hadapan,” katanya.
-- BERNAMA