Daripada Massita Ahmad
BEIJING, 7 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan jadual padat hari terakhir lawatan kerja ke China di sini, dengan mesyuarat perniagaan bersama China International Capital Corp (CICC).
Ditubuhkan di China pada 1995, CICC ialah syarikat pengurusan pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional milik negara itu.
CICC menyediakan perbankan pelaburan, sekuriti dan perkhidmatan pengurusan pelaburan kepada syarikat, institusi dan individu di seluruh dunia.
Selepas ini Perdana Menteri akan melawat Pusat Taklimat Eksekutif Huawei di Daerah Haidian dan seterusnya mengadakan mesyuarat peringkat tinggi dengan eksekutif kanan Huawei.
Anwar kemudiannya akan menyampaikan syarahan umum di Universiti Peking di Beijing.
Syarahan bertajuk Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order, antara lain dijangka menyentuh mengenai kerjasama serantau ditengah-tengah perubahan dunia.
Petang ini, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.
Perdana Menteri akan menerima penghormatan tinggi kerana Presiden Xi bersetuju menganjurkan majlis makan malam untuk Anwar di Great Hall of the People.
Anwar kini dalam lawatan kerja empat hari ke China bermula 4 Nov.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Lawatan kerja itu atas jemputan Perdana Menteri China Li Qiang, menunjukkan kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia di peringkat global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.
Ini kunjungan ketiga Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas yang pertama pada Mac 2023 disusuli lawatan kedua pada September tahun yang sama.
Lawatan kerja Perdana Menteri yang bermula di Shanghai, akan berakhir di Beijing hari ini.
-- BERNAMA