EKONOMI

NILAI JUALAN SEKTOR PEMBUATAN NAIK 2.9 PERATUS KEPADA RM162.3 BILION PADA SEPTEMBER - PERANGKAAN

08/11/2024 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan bagi September 2024 mencatatkan RM162.3 bilion, meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata walaupun jualan sektor jualan ini terus berkembang, pertumbuhan ini lebih perlahan berbanding 7.7 peratus yang direkodkan pada Ogos.

"Kenaikan ini didorong terutamanya oleh subsektor produk elektrik dan elektronik, yang berkembang sebanyak 5.8 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 10.3 peratus pada Ogos 2024.

"Pertumbuhan ini turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau dengan peningkatan sebanyak 5.6 peratus, serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, yang meningkat sebanyak 5.1 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan menurun sebanyak 1.0 peratus daripada RM163.9 bilion pada Ogos 2024.

Sementara itu, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport, yang mewakili 72.6 peratus, menjadi sederhana kepada 3.0 peratus pada September 2024 (Ogos 2024: 7.7 peratus).

Penyumbang utama pertumbuhan ialah pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (6.9 peratus); dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (4.6 peratus).

Industri berorientasikan domestik meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding 7.6 peratus pada Ogos, terkesan oleh penurunan nilai jualan dalam industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler sebanyak 7.3 peratus, berbanding peningkatan 10.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Mengimbangi penurunan ini, beliau berkata pembuatan produk pemprosesan makanan tumbuh 6.9 peratus, diikuti oleh pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (7.9 peratus) dan pembuatan produk galian bukan logam lain (4.1 peratus).

Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan bagi kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing menurun sebanyak 1.1 peratus dan 0.7 peratus.

“Terdapat 2.39 juta pekerja dalam sektor pembuatan pada September 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding pertumbuhan 1.0 peratus pada Ogos 2024, didorong peningkatan subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.4 peratus), dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.8 peratus)," katanya.

Berbanding dengan bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini menambah sebanyak 0.5 peratus, lebih baik berbanding 0.4 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2024.

Gaji dan upah dalam sektor ini meningkat sebanyak 1.2 peratus pada September, mencecah RM8.23 bilion.

Berbanding bulan sebelumnya, gaji dan upah meningkat sebanyak 1.4 peratus, selepas penurunan marginal sebanyak 0.1 peratus pada Ogos 2024.

"Ini menyebabkan peningkatan purata gaji dan upah bulanan setiap pekerja sebanyak 0.4 peratus tahun ke tahun kepada RM3,442. Pada masa yang sama, nilai jualan setiap pekerja meningkat sebanyak 2.1 peratus, mencatatkan RM67,861," kata Mohd Uzir.

Bagi suku tahun ketiga 2024, beliau berkata jualan sektor pembuatan mencecah RM483.2 bilion, menunjukkan pertumbuhan 6.5 peratus (suku kedua 2024: 5.7 peratus), peningkatan ini terutama disumbangkan oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (12.3 peratus); dan produk elektrik dan elektronik (8.1 peratus).

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, nilai jualan bagi sektor pembuatan adalah RM1,404.8 bilion, meningkat sebanyak 4.6 peratus berbanding tempoh masa yang sama pada tahun 2023 (Januari – September 2023: 1.2 peratus).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan