EKONOMI

FGV RANCANG EKSPORT CPKO KE EROPAH MENERUSI PELANGGAN PRODUK AKHIR

08/11/2024 05:33 PM

Daripada Nur Athirah Mohd Shaharuddin

SUNGKAI, 8 Nov (Bernama) -- FGV Holdings Bhd akan memanfaatkan asas pelanggan sedia adanya dalam usaha mengeksport produk minyak isirung sawit mentah (CPKO) ke Eropah pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim berkata langkah itu merupakan percubaan pertama pihaknya untuk memasarkan produk CPKO secara tidak langsung ke Eropah.

Beliau berkata FGV telah bekerjasama rapat dengan pelanggan tersebut untuk memastikan semua dokumentasi yang diperlukan menepati piawaian yang ditetapkan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), sebagai sebahagian daripada usaha FGV untuk menembusi pasaran Eropah.

Pembeli itu bercadang untuk mengeksport produk akhir, yang mengandungi CPKO yang dibeli daripada FGV, ke Eropah pada November atau Disember, katanya.

“CPKO yang dibeli oleh pembeli kami akan diproses menjadi produk lain dan mereka akan eksport ke Eropah. Oleh itu, ia tidak dieksport secara langsung oleh FGV,” katanya kepada pemberita di luar program kunjungan suai kenal media, “A Journey Through Sustainability with FGV” di sini, baru-baru ini.

Nurul Hasanah berkata walaupun Kesatuan Eropah (EU) belum lagi mengenakan EUDR namun, FGV telah mendapatkan badan bebas untuk melakukan pengesahan berdasarkan syarat piawaian EUDR.

“Jadi, dari segi dokumentasi, FGV dan pembeli itu akan bekerjasama untuk memastikan semua dokumentasi selaras dengan larangan EUDR.

“Ini juga melibatkan majlis undang-undang untuk memastikan kami membaca undang-undang dengan betul dan memahami perkara yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata belum dapat disahkan sama ada dokumentasi itu mematuhi piawaian EU atau tidak kerana EUDR belum dikuatkuasakan.

Pada Ogos tahun ini, FGV memperoleh pengeluaran pertama CPKO yang memenuhi piawaian EUDR.

Nurul Hasanah juga berkata pihaknya berharap larangan import yang dikenakan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat ke atas FGV akan ditarik balik tidak lama lagi.

Beliau berkata susulan perubahan ke atas jawatan Presiden AS, FGV berharap eksekutif CBP akan mengekalkan sikap berkecuali dalam membuat keputusan.

“Petisyen kami telah dikemukakan pada Jun 2024, dan sejak itu, kami terlibat dalam perbincangan berterusan dengan CBP apabila mereka menyemaknya, bagi menjawab pertanyaan mereka.

“Jika anda bertanya mengenai tempoh masa, saya tidak dapat memberikannya kerana CBP sentiasa kembali dengan pertanyaan lanjut dan kami masih memberikan maklumat setakat hari ini,” katanya.

Pada 30 Sept 2020, CBP mengeluarkan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) ke atas minyak sawit dan produk minyak sawit buatan FGV berdasarkan maklumat yang secara munasabah menunjukkan terdapat penggunaan buruh paksa.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan