Daripada Nur Athirah Mohd Shaharuddin
SUNGKAI, 8 Nov (Bernama) -- FGV Holdings Bhd menyifatkan penangguhan penguatkuasaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) sebagai peluang untuk pihaknya lebih giat melakukan perkara yang perlu dengan kalangan pekebun kecil.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim berkata FGV akan bekerjasama dengan pekebun kecil di setiap wilayah secara berfasa untuk menyediakan program di samping mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian.
“Kami telah mengenal pasti negeri yang perlu didahulukan (Johor dan Pahang)...tempoh penangguhan (EUDR) selama setahun mungkin cukup untuk FGV bekerjasama, mewujudkan kesedaran dan mengenal pasti mereka yang bersedia menyertai usaha ini.
“Bagaimanapun, untuk mendapatkan keseluruhan rantaian bekalan dan pekebun kecil menyertai usaha ini, tempoh setahun tidak mencukupi, kita memerlukan masa yang lebih panjang,” katanya pada sidang media di luar program kunjungan suai kenal media, “A Journey Through Sustainability with FGV” di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata strategi semasa pihaknya adalah mengenal pasti mereka yang berminat dan bersedia untuk menyertai FGV selain mengutamakan kalangan pekebun kecil.
Nurul Hasanah berkata FGV menggalakkan pekebun kecil mengamalkan amalan lestari alam sekitar untuk mengakses pasaran yang lebih besar dan baharu seperti disyaratkan permintaan pasaran seperti EUDR.
“Pasaran minyak (sawit) kita bukan sekadar di Malaysia, kita perlu keluar ke pasaran antarabangsa. Daripada yang kita tahu, pasaran antarabangsa memerlukan pematuhan kepada piawaian kelestarian terutama melibatkan alam sekitar.
“Mereka sangat prihatin mengenai penyahhutanan, penanaman di tanah gambut dan memberi penekanan kepada agenda iklim...jadi, ini adalah elemen yang diperlukan oleh pasaran,” katanya.
Beliau berkata piawaian itu telah dijadikan peraturan Malaysia iaitu Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Nurul Hasanah menjelaskan untuk mematuhi EUDR, pekebun kecil mesti menyediakan maklumat khusus kepada pembeli.
Tanpa maklumat ini, FGV mendapati pihaknya sukar bekerjasama dari segi transaksi perniagaan dengan pekebun kecil, katanya.
“Jika pekebun kecil memenuhi keperluan ini, harga mungkin meningkat sedikit. Jika pekebun kecil memasarkan di pasaran berasingan, harganya juga agak berbeza,” katanya.
Pengarah Bahagian Perladangan Kumpulan Borhan Bachi berkata FGV akan beralih kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi lori pengangkut sawit pada suku pertama 2025 untuk menggantikan kaedah pengumpulan kelapa sawit konvensional yang menggunakan kenderaan berkuasa enjin diesel.
Beliau berkata peralihan itu akan dilakukan secara berperingkat dengan 50 EV di ladang sawit FGV.
Peralihan kepada EV bukan sahaja menyokong prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) FGV malah juga akan mengurangkan kos penyelenggaraan, katanya.
“Berdasarkan ujian kami ke atas EV, bateri 48 volt boleh bertahan sehingga lapan jam,” katanya.
-- BERNAMA