AM

SEKOLAH TAARANA LANCAR PROGRAM KAFE, BERI LATIHAN ASAS PEKERJAAN KEPADA PELAJAR

09/11/2024 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Sekolah Taarana, sebuah pusat pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas, melancarkan program Kafe Taarana yang bertujuan mengubah kehidupan pelajar dengan menyediakan latihan asas pekerjaan.

Pengetua Taarana Dr S. Sunitha berkata buat masa ini, sekolah itu menawarkan latihan praktikal kepada pelajar dalam pelbagai peranan termasuk sebagai juruwang, pelayan, pembuat minuman dan sandwic untuk menyediakan mereka dengan kemahiran asas pekerjaan pada masa hadapan.

Beliau berkata projek itu dilancarkan pada 27 Sept sebagai sebahagian daripada komitmen sekolah untuk membina masa depan yang lebih cerah kepada pelajar dan masyarakat.

"Kami memulakan projek ini kerana kami mempunyai pelajar dalam lingkungan usia 14 hingga 16 tahun. Memandangkan kami hanya mampu membantu mereka setakat usia 18 tahun, kami tertanya-tanya apa yang akan berlaku selepas itu?

“Menerusi inisiatif ini, kami berhasrat menyediakan latihan praktikal kepada mereka yang akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan. Terdapat beberapa kafe di Lembah Klang yang diuruskan oleh individu kurang upaya dan kami harap pelajar kami dapat mengikut jejak langkah sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah berkenaan hari ini.

Sunitha berkata sebelum ini, sekolah itu berjaya melancarkan projek 'Sifar Sisa' untuk mendidik pelajar tentang pemuliharaan alam sekitar dan kitar semula.

"Projek ini telah membuktikan bahawa kanak-kanak bukan sahaja menjadi terbiasa dengan rutin itu malah mereka sangat produktif.

"Jadi selain meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar, kami juga mendedahkan mereka kepada proses ini supaya mereka boleh mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Sekolah Taarana, yang ditubuhkan pada Mei 2011 oleh Yayasan RYTHM iaitu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Kumpulan QI, berusaha meneroka potensi setiap kanak-kanak dan membantu mereka menjadi aktif serta menyumbang kepada masyarakat.

Sekolah berkenaan mempromosikan persekitaran pendidikan inklusif yang menyediakan akses sama rata kepada pendidikan berkualiti untuk semua kanak-kanak.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan