PETALING JAYA, 11 Nov (Bernama) -- Anugerah Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) buat julung kalinya memperkenalkan dua kategori baharu bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sektor awam.
Dua kategori baharu tersebut adalah Anugerah KKP MSOSH-CUEPACS dan Anugerah KKP Institusi Awam MSOSH.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata organisasi yang menyertai anugerah ini telah dinilai melalui audit yang teliti, telus, dan penuh integriti.
“Tahun ini MSOSH menerima 256 penyertaan, dan saya berharap lebih banyak organisasi menyertai pada masa hadapan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 10 organisasi yang berjaya dalam kedua-dua kategori baharu ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah MSOSH ke-42 di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat, Presiden MSOSH Ahmad Fakhrul Anuar Ismail, Pengerusi MSOSH Mohamad Mahathir Mohamed Younos dan Presiden MSOSH Ahmad Fakhrul Anuar Ismail.
Shamsul Azri berkata MSOSH telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan sejak 1971 dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan sepanjang 53 tahun penubuhannya.
Sementara itu, Ahmad Fakhrul berkata anugerah tahun ini merangkumi kategori Platinum, Grand, Gold Merit, Gold, Silver dan Bronze, yang diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang organisasi dalam amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Antara yang turut menerima pengiktirafan adalah Syarikat Petron Fuel International Sdn Bhd, Kuantan Terminal, yang meraih Anugerah Platinum setelah sekian lama tiada pemenang bagi kategori itu sejak 2007.
Dalam Anugerah KKP Institusi Awam MSOSH, Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM Shah Alam pula menjadi penerima sulung anugerah berkenaan.
Anugerah KKP MSOSH-CUEPACS 2024 pula menyaksikan 10 organisasi dipilih sebagai penerima antaranya Hospital Kuala Lumpur, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
-- BERNAMA