PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 85 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam telah menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat ini, menjelang pelaksanaan sistem itu yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Dis ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperkasakan sesi penerangan untuk memastikan baki 15 peratus lagi penjawat awam memilih opsyen berkenaan.
“Dari segi peratusan, 85 peratus sudah setuju menandatangani SSPA. Yang baki (15 peratus), saya difahamkan JPA akan ‘all out’ buat penerangan sebab ada yang masih tidak jelas disebabkan mereka terima maklumat tidak tepat yang diperoleh di media sosial,” katanya.
Shamsul Azri berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Taat Setia Reformasi Penjawat Awam’ pada Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Taat Setia anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di sini hari ini.
Pada 13 Sept lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Okt hingga 30 Nov ini untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Dis ini.
Susulan itu, Shamsul Azri menasihatkan penjawat awam yang masih keliru mengenai manfaat SSPA agar tidak sewenang-wenangnya menerima maklumat yang diperoleh dari media sosial sebaliknya membuat rujukan dengan JPA.
“Allah berfirman dalam surah al-Fatihah ‘ikutlah jalan yang lurus’. Sebab apa yang perkenal SSPA adalah JPA, maka rujuklah kepada JPA, dengarlah nasihat mereka, dan ikutlah sesi libat urus yang dijalankan oleh JPA,” katanya.
Beliau mahu JPA dijadikan sebagai sumber rujukan yang sahih bagi kesemua penjawat awam di negara ini bagi mengelak sebarang kekeliruan yang boleh menghalang mereka daripada membuat pilihan yang tepat berkaitan opsyen SSPA.
“Jangan hanya dengar kata-kata kawan di media sosial. Kadang-kadang mereka bukan kerja dengan kerajaan. Jadi bagaimana mereka boleh faham dan memberi nasihat mengenai SSPA,” katanya.
Pada 12 Nov lepas, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Panggilan Setempat (PPS) SSPA sebagai platform untuk memberi penjelasan tepat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan penjawat awam berhubung sistem saraan baharu itu.
Sejak pengenalan SSPA melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2024 pada 13 Septe lepas, sebanyak 54 sesi libat urus telah dilaksanakan untuk memberikan penerangan mengenai sistem saraan itu.
Pengenalan SSPA adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang lebih besar, bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam selain membantu mengurangkan kos sara hidup bagi pegawai awam.
Sistem saraan baharu ini dibangunkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam, selaras dengan dasar Malaysia MADANI.
-- BERNAMA