SINGAPURA, 14 Nov (Bernama) -- Kumpulan tenaga bersepadu, Wasco Bhd telah menubuhkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan dan Mampan bersepadu, yang pertama seumpamanya di ASEAN serta berjaya melaksanakan pinjaman berkaitan kemampanan pertamanya sebanyak US$25 juta.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bertindak sebagai penasihat kemampanan manakala cawangan Maybank di Singapura adalah pemberi pinjaman tunggal.
“Rangka kerja komprehensif ini adalah yang pertama dalam menggariskan projek peralihan yang layak dengan berpandukan Kriteria Penapisan Teknikal Taksonomi ASEAN terkini untuk Kewangan Mampan (Versi 3),” kata Maybank dan Wasco dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Rangka kerja itu menggariskan kaedah Wasco serta anak syarikatnya untuk memasuki Transaksi Kewangan Kemampanan menggunakan format penggunaan hasil, format berkaitan kemampanan dan kewangan peralihan yang sejajar dengan Buku Panduan Kewangan Peralihan Iklim Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa, yang pertama seumpamanya dalam ASEAN.
Pinjaman itu, terikat dengan sasaran prestasi kemampanan Wasco, akan menyumbang kepada pelan pembiayaan syarikat berkenaan termasuk menyokong perbelanjaan modal bagi loji mereka di Batam, Indonesia.
Komitmen Wasco merangkumi usaha mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih untuk Skop 1 dan 2 menjelang 2026, meraih 30 peratus pergantungan pada tenaga boleh baharu untuk tahun ini serta 40 peratus pada 2035 daripada garis dasar 2023, selain mengekalkan kadar kemalangan dan sifar kematian.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wasco Giancarlo Maccagno berkata rangka kerja itu membolehkan syarikat tersebut untuk melindungi masa depannya dan memberikan nilai mampan kepada pelanggan tenaganya semasa mereka membuat peralihan.
“Ini juga akan membolehkan Wasco mengekalkan fleksibiliti penuh dalam mengakses kewangan mampan merentas pelbagai jenis, format serta mata wang bagi menyokong objektif dan projek kemampanan tertentu,” katanya .
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank IB, Michael Oh-Lau berkata Maybank berbangga dapat bekerjasama dengan Wasco untuk membangunkan penyelesaian dan menyumbang kepada rantaian bekalan dalam sektor tenaga yang lebih mesra alam.
“Rangka kerja ini memberikan kejelasan dan keyakinan kepada Wasco termasuk pihak bank untuk membiayai inisiatif penyahkarbonan. Maybank adalah bank Malaysia pertama melancarkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan, yang juga merupakan yang pertama seumpamanya di ASEAN,” tambahnya lagi.
-- BERNAMA