KOTA BHARU, 15 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 28 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan selama dua hari di Gua Musang yang berakhir semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (Pengurusan) Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata kesemua lelaki yang ditahan itu terdiri daripada 18 warga Indonesia, tujuh warga Bangladesh dan tiga warga Myanmar berumur lingkungan 19 hingga 50 tahun.
"Operasi yang bermula pukul 2 petang itu dijalankan di beberapa premis di sekitar Gua Musang, iaitu Kampung Jerek Bertam, Ladang Blau dan Meranto membabitkan 20 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan, JIM Kelantan.
"Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan semalam.
Nik Akhtarulhaq turut menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi pendatang tanpa izin,” katanya.
-- BERNAMA