AM

DEKLARASI KUALA LUMPUR PASTIKAN PERKHIDMATAN AWAM CEKAP, AGENDA UTAMA PROGRAM 2 TAHUN KERAJAAN MADANI – KSN

15/11/2024 11:00 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

 PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur - Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia akan menjadi antara agenda utama penganjuran Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata deklarasi itu merupakan satu lambang solidariti penjawat awam dalam memperkukuh komitmen bersama untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berkesan di seluruh peringkat Persekutuan dan negeri.

“Saya sendiri akan bersama kesemua 14 Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan menandatangani dokumen sebagai bukti komitmen penjawat awam di semua peringkat Persekutuan dan negeri untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus, dan berkesan,” katanya kepada Bernama sempena 100 hari pelantikan beliau sebagai KSN ke-16 pada 19 Nov ini.

Shamsul Azri berkata penganjuran program itu bertujuan memperkukuh agenda reformasi perkhidmatan awam dan menggalakkan semangat kerjasama antara penjawat awam seluruh negara.

“Program ini bukan sahaja meraikan pencapaian dua tahun Kerajaan MADANI, tetapi juga sebagai platform untuk terus memupuk semangat kesatuan dalam kalangan penjawat awam bagi merealisasikan visi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata bertemakan “MADANI Dihati, Rakyat Disantuni” program tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperbaik sistem perkhidmatan awam supaya lebih responsif terhadap keperluan rakyat.

“Perkhidmatan awam memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan setiap agenda kerajaan bagi mencapai wawasan negara,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam akan memberi impak besar terhadap kualiti hidup rakyat dan pembangunan negara.

“Kita mesti sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dan lebih cekap dalam setiap aspek perkhidmatan yang kita sampaikan kepada rakyat,” katanya.

Sempena dua tahun kerajaan MADANI, Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 bakal dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 hingga 24 Nov ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan program anjuran Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu pada 11 pagi, 23 Nov.

-- BERNAMA


 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan