DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI

15/11/2024 10:04 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat setelah pulih daripada penurunan yang dilihat sepanjang tiga hari lepas, kata Penganalisis Kanan Fastmarket Palm Oil Analytics Sathia Varga. 

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata sentimen pasaran dipacu oleh momentum belian apabila para peniaga mengenepikan gelombang pengambilan untung sebelum ini untuk bertaruh pada ketidaktentuan bekalan yang semakin disokong oleh kenaikan dalam harga minyak sayuran berkaitan.

Sathia berkata sentimen kenaikan harga juga mendorong kenaikan kukuh minyak sawit olein di Bursa Dalian selain dirangsang oleh aktiviti pembelian pasaran tunai selepas harga berkurangan dalam beberapa hari lepas.

Sementara itu, syarikat pemeriksa bebas AmSpec Agri Malaysia berkata eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 15 Nov, 2024 turun sebanyak 6.0 peratus kepada 707,932 tan, berbanding 753,102 tan yang dihantar dalam tempoh 1 hingga 15 Okt, 2024. 

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 kekal tidak berubah kepada RM5,151 setiap tan manakala Disember 2024 melonjak RM116 kepada RM5,119 dan Januari 2025 berkembang RM124 kepada RM5,088 setiap tan.

Kontrak Februari 2025 meningkat RM131 kepada RM5,053 setiap tan, Mac 2025 bertambah RM124 kepada RM4,952 dan April 2025 meningkat RM117 kepada RM4,830 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 253,114 lot daripada 135,018 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 112,146 kontrak daripada 247,747 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk November Selatan menokok sebanyak RM70 kepada RM5,170 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan