AM

TINGKAT KEHARMONIAN MASYARAKAT AGENDA PENTING KEMENTERIAN PERPADUAN - SARASWATHY

16/11/2024 04:10 PM

MELAKA, 16 Nov (Bernama) -- Meningkatkan keharmonian masyarakat merupakan satu daripada agenda penting ditetapkan dalam hala tuju Kementerian Perpaduan Negara (KPN) selaras dengan agenda nasional membangun Malaysia MADANI.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K Saraswathy berkata nadi pelaksanaan mencapai agenda itu adalah inisiatif Harmoni MADANI yang mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu Faham, Hormat dan Terima.

"Slogan harmoni MADANI sinonim dengan Kementerian Perpaduan Negara kerana pelaksanaan Inisiatif Harmoni MADANI bermula seawal Februari tahun ini.

"Sebahagian daripada inisiatif itu telah dilaksanakan antaranya Program Jejak Harmoni di sembilan lokasi iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Sabah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Sambutan Hari Toleransi Sedunia Peringkat Kementerian Perpaduan Negara 2024 yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Saraswathy berkata inisiatif lain ialah Dialog Antara Agama dengan kerjasama Jawatankuasa Harmoni dan pertubuhan agama yang dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Sabah dan sesi podcast: Bicara Harmoni yang mengetengahkan konsep perkongsian nilai murni masyarakat Malaysia.

Beliau berkata selain itu, beberapa program antarabangsa juga dilaksanakan seperti Sambutan Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia dan program di bawah penyelarasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa.

"Hari ini lengkaplah keseluruhan pelaksanaan program utama di bawah Inisiatif Harmoni MADANI dengan pelaksanaan Sambutan Hari Toleransi Sedunia. Sambutan ini merupakan penutup tirai program utama inisiatif tersebut bagi tahun ini," katanya.

Terdahulu, beliau berkata Sambutan Hari Toleransi Sedunia Peringkat Kementerian Perpaduan Negara  2024 dianjurkan sebagai usaha untuk meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam ke arah memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan.

Beliau berkata ekspresi yang dizahirkan bagi penganjuran sambutan berkenaan disesuaikan dalam konteks kemajmukan masyarakat negara sekali gus menggambarkan toleransi masyarakat Malaysia yang menjamin keharmonian dan perpaduan dalam kalangan mereka.

Pada program itu juga turut diadakan Harmony Walk iaitu lawatan ke rumah ibadat, muzium dan bangunan kebudayaan di sekitar Bandar Hilir dan Jalan Harmoni melibatkan jarak lebih satu kilometer bertujuan mengajak rakyat berbilang kaum menyelami serta mengenali budaya dan agama sekali gus menyemai semangat keharmonian dalam kalangan mereka.

Peserta juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan identiti etnik di perhentian laluan Harmony Walk iaitu Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Muzium Seni Bina Malaysia, Christ Church Melaka, Stadthuys (Dutch Square), Malaysia-China Friendship Botanical Square, Tokong San Duo Melaka, Kuil Sri Poyyatha Vinayaga Moorthi, Masjid Kampung Kling, Tokong Cheng Hoon Teng dan Dewan Teng Choo.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan