AM

FAKTOR USIA TIDAK HALANG ABD JALIL GENGGAM PHD

16/11/2024 04:35 PM

JOHOR BAHRU, 16 Nov (Bernama) -- Faktor usia tidak menghalang Abd Jalil Hassan berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anak kelahiran Perak berusia 62 tahun berkenaan berkata minat dan rasa ingin berkongsi ilmu menguatkan tekad beliau menyiapkan tesis bertajuk Reducing Uncertainties Through Semi Distributed Modelling in Flood Flow in Large Catchment.

“Saya mengambil PhD dalam bidang kejuruteraan awam selama lapan tahun bermula 2016,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perisytiharan Pro-Canselor dan Majlis Konvokesyen UTM kali ke-68 di sini hari ini.

Abd Jalil berkata beliau seorang jurutera dan pernah berkhidmat di Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) sebelum memilih bersara awal bagi membuka syarikat perunding kejuruteraan sendiri.

“Sepanjang lebih 30 tahun dalam bidang ini, banyak ilmu dipelajari dan saya merasakan cara terbaik untuk menyumbang semula adalah melalui perkongsian dengan pengiktirafan akademik,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran yang dihadapi dalam perjalanan menggenggam PhD itu adalah kekangan pergerakan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan akibat pandemik COVID-19.

“Saya rasa COVID-19 cabaran utama apabila kita tidak boleh bergerak, tapi Alhamdulillah semua dapat dihabiskan dengan jayanya walaupun sedikit lama,” katanya.

Sementara itu, graduan PhD antarabangsa dari India Maroti Khokale, 66, berhasrat untuk menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Maroti yang mengambil PhD dalam bidang pengurusan strategik berkata pengalaman dalam industri minyak dan gas selama lebih 40 tahun membuatkan beliau sangat teruja untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, khususnya dalam bidang peralihan tenaga.

“Faktor usia, kesihatan dan juga menempuh pandemik COVID-19 menjadi antara cabaran untuk saya menggenggam PhD sehingga memaksa saya menangguhkan pengajian selama setahun tapi itu bukan halangan.

“Minat yang sangat mendalam dan rasa ingin berbakti kepada generasi baharu menguatkan tekad saya untuk menyumbangkan kembali segala ilmu kepada masyarakat, khususnya mereka dalam bidang ini,” katanya yang telah menetap di negara ini sejak 18 tahun lepas.

Abd Jalil dan Maroti adalah antara 584 graduan PhD yang menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen UTM ke-68.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan