AM

PERLINDUNGAN TENANG, PELAN PERLINDUNGAN MAMPU MILIK UNTUK SEMUA - MTA

17/11/2024 09:23 PM

KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Penglibatan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) sebagai pempamer utama dalam Karnival Celik Kewangan (KCK) Sarawak yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini di Vivacity Mall berjaya mencapai matlamatnya. 

Menurut kenyataan MTA, sepanjang karnival itu berlangsung MTA giat mempromosikan Perlindungan Tenang, pelan perlindungan mampu milik dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Pengunjung mendapat kesedaran tentang bagaimana Takaful dapat meningkatkan pengurusan kewangan mereka dengan memberi nasihat praktikal yang menyesuaikan keperluan masyarakat.

“Penglibatan ini mencerminkan komitmen MTA untuk menyebarkan literasi kewangan, mempromosikan Takaful sebagai alat perlindungan penting, dan memperkasakan komuniti dalam membina masa depan kewangan yang lebih kukuh,” jelas kenyataan itu.

MTA komited dalam menyebarkan kesedaran tentang literasi kewangan, mempromosikan Takaful sebagai alat perlindungan yang penting, dan memupuk budaya tanggungjawab pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

MTA kekal teguh dalam misinya untuk merapatkan jurang literasi kewangan dan memperkasakan komuniti untuk menerima Takaful demi masa depan lebih baik serta selamat.

Selain pameran, MTA turut melaksanakan program bersama komuniti setempat menerusi Takaful Masuk Kampung di Kampung Samariang Batu, sesi T’Talk bersama Ketua Pegawai Eksekutif MTA, pelancaran MTA+ Kenyalang Chapter serta Shape Your Future #FitFinances 3.0 di Lundu dan Takaful4All Fun Run 2024.

Majlis penutup Karnival Celik Kewangan Sarawak dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2024 telah dirasmikan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) Wan Saifulrizal Wan Ismail dan wakil-wakil industri kewangan yang lain.

KCK merupakan karnival anjuran Bank Negara Malaysia di bawah inisiatif Financial Education Network (FEN) bertujuan meningkatkan kesedaran tentang literasi kewangan, memperkasakan komuniti dan memperluas kepentingan pengurusan kewangan.

Berucap pada majlis penutup itu, Adnan berkata sepanjang KCK berlangsung, lebih 20,000 pengunjung  telah hadir ke karnival yang melibatkan 40 pempamer  terdiri pelbagai institusi dan agensi kewangan di Malaysia.

“Saya berharap semua dapat memanfaatkan inisiatif celik kewangan yang dijalankan ini dan menguar-uarkan kepada keluarga serta rakan-rakan betapa pentingnya mengurus wang dengan berhemat, mengelakkan hutang berlebihan dan mendapat tip pelaburan secara bijak dan selamat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan