KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada sesi persidangan kali ini.
Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, RUU itu untuk meminda Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (Akta 445).
Sebelum pindaan dicadangkan, setiap entiti Labuan dikehendaki untuk mengemukakan kepada Ketua Pengarah suatu akuan berkanun dan suatu penyata keuntungan dalam tempoh tiga bulan dari permulaan sesuatu tahun taksiran.
Dengan pindaan yang dicadangkan dan berikutan pengenalan sistem taksir sendiri, setiap entiti Labuan dikehendaki untuk mengemukakan penyata keuntungan dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh berikutan penutupan tempoh perakaunan yang merupakan tempoh asas bagi tahun taksiran itu.
Pindaan yang dicadangkan seterusnya memperuntukkan penyata keuntungan hendaklah dikemukakan melalui medium elektronik atau dengan cara penghantaran elektronik.
Pindaan ini berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2025 dan tahun-tahun taksiran yang berikutnya.
-- BERNAMA