MOSCOW, 19 Nov (Bernama-Xinhua) -- Presiden Rusia, Vladimir Putin, menandatangani dekri meluluskan doktrin nuklear Rusia yang dikemas kini, lapor Xinhua memetik kenyataan Kremlin pada Selasa.
Dekri yang diterbitkan di laman sesawang Kremlin itu menyatakan bahawa tindakan pencerobohan oleh mana-mana negara dalam gabungan atau blok ketenteraan terhadap Rusia atau sekutunya dianggap sebagai pencerobohan oleh keseluruhan blok berkenaan. Selain itu, serangan dari negara bukan nuklear yang melibatkan atau mendapat sokongan kuasa nuklear akan dilihat sebagai serangan bersama terhadap Rusia.
Menurut dokumen itu, Rusia menganggap senjata nuklear sebagai "alat pencegahan... yang hanya digunakan sebagai langkah terakhir dan terpaksa," sambil menekankan bahawa negara ini sedang mengambil "segala usaha yang perlu" untuk mengurangkan ancaman nuklear serta mencegah peningkatan ketegangan antara negara yang boleh mencetuskan konflik ketenteraan, termasuk konflik nuklear.
Doktrin yang dikemas kini itu juga menjelaskan pihak negara dan pakatan ketenteraan yang menjadi sasaran kepada pencegahan nuklear. Menurut dekri itu, pencegahan nuklear disasarkan kepada musuh berpotensi, yang ditakrifkan sebagai "negara individu dan gabungan ketenteraan yang melihat Rusia sebagai musuh berpotensi" dan memiliki senjata nuklear atau keupayaan ketenteraan konvensional yang besar.
Pencegahan nuklear turut disasarkan kepada negara yang membenarkan wilayah dan sumbernya digunakan untuk tindakan pencerobohan terhadap Rusia, menurut dekri itu lagi.
--BERNAMA-XINHUA