Oleh Danni Haizal Danial Donald
SEPANG, 19 Nov (Bernama) -- MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) merancang untuk meningkatkan kapasiti kargonya dengan memanfaatkan perkongsian strategik bersama Qatar Airways Cargo.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark Jason Thomas berkata sejak bermulanya perkongsian pada 1 Okt, 2024, MASkargo telah menyaksikan kemajuan yang luar biasa, dengan mengangkut kira-kira 2,500 tan kargo meliputi komoditi-komoditi kritikal seperti barang mudah rosak dan farmaseutikal.
"Kami melihat beberapa pertumbuhan tambahan untuk kami. Setakat ini, kami mendapati kira-kira 30 peratus peningkatan dalam penghantaran muatan yang meningkatkan prestasi keseluruhan kami,” katanya kepada Bernama di luar acara pelancaran perkongsian MASkargo dan Qatar Airways Cargo di sini hari ini.
Beliau berkata syarikat itu berhasrat untuk meningkatkan lebih banyak kapasiti ke Kuala Lumpur sebagai hab serantau dan merancang meluaskan jangkauan dan ketersambungan yang lebih baik di Eropah.
“Kami berada dalam perkongsian yang erat dengan Qatar Airways. Pada masa ini, perkongsian ini telah membuka pintu masuk utama ke Eropah, terutamanya Frankfurt, Malpensa dan Amsterdam. Jadi, perkongsian ini tidak berakhir di sini kerana kami sedang melihat skop yang lebih luas dan juga jangkauan ke dalam rangkaian Qatar Airways,” tambahnya.
Mengenai penguasaan serantau, Mark berkata syarikat itu merancang untuk mengembangkan bahagian pasaran dan rangkaiannya bagi menyediakan ketersambungan yang lancar kepada para pelanggan.
"Selama bertahun-tahun, kami menyaksikan bahagian pasaran kami di pasaran serantau meningkat sejajar dengan pertumbuhan kapasiti kami dan berharap dapat meningkatkan kapasiti kami untuk memperoleh bahagian pasaran yang lebih baik.
“ASEAN sentiasa menjadi pasaran utama kami kerana ia mempunyai banyak kapasiti. Kami berharap untuk menyokong industri di ASEAN dan melalui perkongsian ini, ia akan membolehkan kami melakukan semua itu," katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Kargo Qatar Airways Cargo Mark Drusch berkata perkongsian berkenaan membolehkan syarikat penerbangan kargo udara global itu berkembang dan menyediakan lebih banyak persaingan dalam pasaran.
"Apabila anda menggabungkan kedua-dua rangkaian ini, kami membuka pasaran yang tidak tersedia atau tidak mudah diakses pada hari ini. Qatar Airways Cargo komited untuk bukan sahaja mengekalkan piawaian kecemerlangan semasa dalam industri tetapi membangunkan piawaian yang lebih baik untuk industri bersama-sama dengan rakan kongsi kami," kata beliau dalam ucapannya hari ini.
Pada Julai 2024, Qatar Airways Cargo dan MASkargo menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk menyampaikan tawaran produk yang dipertingkatkan kepada pelanggan kargo dan mencapai sinergi operasi.
Menurut MASkargo, perjanjian perniagaan kargo bersama yang strategik ini membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan memanfaatkan kekuatan rangkaian dan kapasiti armada masing-masing, sekali gus meningkatkan penawaran kargo dengan ketara.
-- BERNAMA