KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhasrat menggunakan kesempatan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-18 dan ADMM-Plus ke-11 di Vientiane, Laos bermula 20 hingga 21 Nov ini untuk mengetengahkan isu, pandangan dan pendirian Malaysia dalam soal pertahanan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kini berada di republik tersebut untuk kedua-dua mesyuarat berkenaan berkata Malaysia juga akan memanfaatkan platform itu untuk membuat persediaan dalam mengambil alih Kepengerusian ASEAN dari Laos pada tahun depan.
“Ruang semasa ADMM dan ADMM Plus ini saya gunakan untuk mengadakan pertemuan bilateral bersama beberapa rakan sejawat dan pemimpin tertinggi dari Laos, Thailand, India, China, New Zealand, Rusia dan Sekretariat ASEAN,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata semasa ADMM dan ADMM-Plus itu akan diadakan juga Commemorative Ceremony of 50th Anniversary of ASEAN-Australia dan 35th Anniversary of ASEAN-Republic of Korea Dialogue Relations selain ASEAN-China dan ASEAN-US Defence Ministers’ Informal Meeting.
Pada hari terakhir mesyuarat pula, satu majlis penyerahan Kepengerusian kepada Malaysia turut akan dilangsungkan sebagai simbolik serahan tugas Pengerusi ADMM dan ASEAN, tahun depan.
Terdahulu, ketibaan Mohamed Khaled di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane, hari ini disambut oleh Ketua Jabatan Teknikal Am Angkatan Tentera Rakyat Lao Brig Gen Chomphet Xayasouk dan Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud.
-- BERNAMA