DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI, SEIRING HARGA MINYAK KACANG SOYA

19/11/2024 09:30 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini seiring dengan kekukuhan harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT), kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng bagaimanapun berkata kenaikan seterusnya harga MSM dihadkan oleh permintaan perlahan eksport. 

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,800 dan paras rintangan pada RM5,000,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta baharu Disember 2024 naik RM45 kepada RM5,016 setan metrik, bulan berdekatan Januari 2025 meningkat RM34 kepada RM4,961 dan Februari 2025 menokok RM25 kepada RM4,924. 

Kontrak Mac 2025 menambah RM26 kepada RM4,837 setan metrik, April 2025 meningkat RM31 kepada RM4,734 dan Mei 2025 menokok RM41 kepada RM4,620.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 96,083 lot daripada 102,222 pada Isnin manakala kepentingan terbuka turun kepada 252,020 kontrak daripada 253,787 sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Disember Selatan kekal tidak berubah pada RM5,080 setan metrik.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan