AM

DUA PETUGAS SK LIMAU PURUT MAUT DALAM KEMALANGAN

19/11/2024 11:14 PM

KUANTAN, 19 Nov (Bernama) -- Dua petugas Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut, Jerantut maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di KM15 Jalan Lipis–Jerantut berhampiran Kampung Jeram Bungor, Kuala Lipis hari ini. 

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata kemalangan kira-kira 2.30 petang itu mengakibatkan Pembantu Operasi Nurshida Md Najib, 38, yang berasal dari Pekan dan Pembantu Tadbir Nurulfarhana Yahaya, 31, dari Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan Proton Saga yang dipandu Nurshida sedang menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah Lipis bagi urusan kerja.

Lori terbabit katanya, dipandu seorang lelaki bersama kelindan dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan ke Mela, Lipis untuk mengambil tayar.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, dua kenderaan itu telah bertembung mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu lori berusia 31 tahun pula mengalami kecederaan di rusuk sebelah kiri dan kelindannya berumur 33 tahun dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ismail berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan