EKONOMI

INDUSTRI PEMBUATAN CAPAI KADAR KAPASITI PENGGUNAAN 82.4 PERATUS PADA SUKU KETIGA 2024

20/11/2024 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Industri pembuatan mencapai kadar kapasiti penggunaan 82.4 peratus pada suku ketiga 2024 (S3 2024), meningkat 3.0 mata peratusan berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain menerajui tiga subsektor teratas dengan mencatatkan kapasiti penggunaan tertinggi, mencecah 84.1 peratus.

Ini diikuti oleh produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka pada 83.6 peratus dan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut pada 83.0 peratus.

"Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri pembuatan meningkat 0.3 mata peratusan daripada 82.1 peratus pada suku kedua 2024," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata kadar kapasiti penggunaan meningkat dan melebihi 80 peratus sepanjang suku ketiga 2024, dengan industri pembuatan beroperasi pada 82.2 peratus pada Julai, meningkat 3.6 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Ogos 2024 menyaksikan 82.8 peratus dan September 2024 mencatatkan 82.3 peratus.

Mengenai industri berorientasikan eksport, Mohd Uzir berkata kapasiti penggunaan meningkat 3.4 mata peratusan kepada 81.8 peratus pada suku ketiga 2024, meningkat daripada 78.4 peratus pada suku ketiga 2023.

Beliau mengaitkan pertumbuhan itu disebabkan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal, serta pembuatan kimia dan produk kimia.

Ketua Perangkawan itu juga berkata industri berorientasikan domestik turut berkembang sebanyak 2.1 mata peratusan kepada 83.8 peratus.

"Pengembangan ini terutamanya dipengaruhi oleh industri pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (84.4 peratus) dan produk makanan diproses (84.9 peratus) yang masing-masing meningkat 2.7 mata peratusan dan 1.7 mata peratusan," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan