AM

PM ANWAR RASMI PROGRAM DUA TAHUN KERAJAAN MADANI SABTU INI

20/11/2024 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu ini. 

Menurut atur cara program berkenaan yang dikongsikan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Anwar turut dijadual menyampaikan ucapan pada program itu yang bermula Jumaat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengesahkan Perdana Menteri akan menghadiri program berkenaan sebelum berlepas ke Korea Selatan untuk lawatan kerja rasmi.

“Pada 24 Nov, Perdana Menteri akan ke Korea Selatan bagi lawatan kerja rasmi untuk tujuan perdagangan dan juga (mengadakan beberapa) pertukaran memorandum persefahaman (MoU),” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bulan November di sini, hari ini.

PACU merupakan sekretariat induk program 2TM yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Pantau MADANI.

Pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai yang hadir pada Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 itu yang bermula pada 9 pagi hingga 6 petang.

Selain pameran perkhidmatan daripada kementerian-kementerian, terdapat juga reruai usahawan serta Jualan MADANI bakal dinikmati pengunjung.

Kira-kira 3,000 kekosongan kerja pelbagai jawatan ditawarkan pada program berkenaan selain perjawatan oleh 40 majikan pada karnival kerjaya dengan 150 perkhidmatan terpilih menanti pengunjung.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar selain perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 60 peratus serta 80 usahawan Jualan MADANI.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menyediakan khidmat nasihat urusan pencen dan persaraan, program penajaan dan penerangan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selain perkhidmatan cetakan semula sijil secara percuma dan banyak lagi.

Pengunjung juga berpeluang menukar al-Quran baharu menerusi program "Jom Exchange Al-Quran (JEQ)" dengan membawa naskah al-Quran lama yang tidak mempunyai perakuan Kementerian Dalam Negeri, yang terhad senaskah bagi seorang pengunjung. 

 Program tiga hari itu turut menampilkan pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam program ini dengan memberikan maklum balas mengenai perkhidmatan dan inisiatif yang dirangka Kerajaan MADANI untuk rakyat.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan