KANGAR, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas pelbagai barangan termasuk dadah jenis kanabis bernilai keseluruhan lebih RM314,000 dalam pemeriksaan dan serbuan berasingan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang antara 28 Okt hingga 12 Nov lepas.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata pelbagai jenis minuman keras sebanyak 2,136 liter dianggarkan bernilai lebih RM175,000 disita dalam pemeriksaan di Kuala Perlis dan Bukit Mertajam masing-masing pada 6 Nov dan 11 Nov lepas.
"Pada 6 Nov 2024, lebih kurang 12.10 tengah hari, sepasukan anggota kastam membuat pemeriksaan kenderaan di Terminal RORO Kuala Perlis dan hasil pemeriksaan ke atas sebuah motolori bernombor pendaftaran Malaysia, menemukan minuman keras disyaki tidak berkastam sebanyak 1,656 liter,” katanya pada sidang media di Dewan Zamzam, Kompleks Kastam Negeri Perlis di sini hari ini.
Beliau berkata pemandu motolori itu seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun ditahan untuk membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan RM10,000.
Sementara itu dalam pemeriksaan di sebuah stor tidak bernombor di Bukit Mertajam pada 11 Nov, beliau berkata sepasukan anggota telah menyita 480 liter minuman keras disyaki tidak berkastam.
Ismail berkata pihaknya turut menyita 146,800 batang rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM45,912 dalam pemeriksaan di Kangar, Alor Setar dan Bukit Mertajam, masing-masing pada 28 Okt, 7 Nov dan 11 Nov lepas.
Menurut Ismail pihaknya turut merampas 30 ketulan mampat dadah jenis kanabis seberat 30.145 kilogram (kg) bernilai RM93,000 dalam serbuan di kawasan Pintu Tiga, Bukit Batu Putih, Kuala Perlis iaitu sempadan Malaysia-Thailand pada 12 Nov, lebih kurang 8.30 malam.
"Hasil serbuan telah menjumpai dua bungkusan guni berwarna putih ditinggalkan berhampiran pagar sempadan dalam keadaan mencurigakan.
“Modus operandi dipercayai bungkusan guni disyaki berisi dadah jenis kanabis ini dicampak dari kawasan Thailand melepasi tembok ataupun pagar sempadan Malaysia. Bungkusan tersebut dipercayai akan diambil oleh individu lain,” katanya sambil menambah dadah itu boleh digunakan lebih 150,000 orang penagih.
Katanya kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(e) akta sama serta Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ismail menambah JKDM Perlis telah merampas dadah bernilai RM3.27 juta daripada lapan kes tahun ini melibatkan ganja sebanyak 110.38 kg, heroin (5.25 kg) dan metamfetamina (73.319 kg).
-- BERNAMA