JENAYAH & MAHKAMAH

IMIGRESEN TAHAN 32 PENDATANG TANPA IZIN BEKERJA DI KIOSK BARANG ELEKTRONIK

20/11/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 32 pendatang tanpa izin yang bekerja di kiosk menjual peralatan elektronik kerana pelbagai kesalahan dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini hari ini. 

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada lelaki berusia 23 hingga 46 tahun berasal dari Bangladesh, Pakistan dan India. 

Beliau berkata mereka yang ditahan disyaki tidak mempunyai permit, permit tamat tempoh dan tidak mematuhi syarat permit untuk tinggal di negara ini. 

“Serbuan dilakukan pada kira-kira 12.30 tengah hari tadi hasil risikan selama dua minggu serta selepas menerima aduan orang ramai mengenai ramai warga asing bekerja di kedai menjual barangan elektronik. 

“Pemeriksaan terhadap warga asing berkenaan dan premis tempat mereka bekerja dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan berkenaan hari ini. 

Tinjauan Bernama ketika serbuan berkenaan mendapati antara yang ditahan dipercayai seorang penuntut universiti swasta yang menerima bayaran kira-kira RM1,500 untuk bekerja di kiosk berkenaan. 

Terdapat juga pekerja yang cuba menyamar sebagai pelanggan dengan tidak berada di dalam kiosk ketika serbuan sebagai langkah mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan. 

Wan Mohammed Saupee berkata syarikat tempat pendatang tanpa izin berkenaan bekerja juga akan disiasat kerana memberi perlindungan kepada mereka yang ditahan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya. 

– BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan