AM

JPNIN KELANTAN HANTAR 40 AHLI SKUAD UNITI JALANI LATIHAN HADAPI BANJIR

20/11/2024 05:15 PM

PASIR PUTEH, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan akan menghantar 40 ahli daripada Skuad Uniti bagi menjalani latihan sebagai langkah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.

Pengarah JPNIN Ahmad Nazif Mohamad berkata kesemua ahli yang terlibat dijangka mengikuti latihan tersebut di Tasik Kenyir, Terengganu pada pertengahan bulan hadapan.

"Kita akan hantar setiap ahli yang ada dalam Skuad Uniti di Kelantan untuk mengikut latihan yang disediakan seperti menyelamat dan sebagainya bagi persediaan menghadapi banjir.

"Selain itu, di peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pula kita akan membersihkan kawasan dan bantu penduduk selepas banjir pulih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Kenali Budaya Kita Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Cherang Ruku di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan MTL bermula pada 5 Nov lepas hingga Mac 2025, dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Mengulas lanjut, Ahmad Nazif berkata hampir 80 peratus daripada 455 KRT di Kelantan bergiat aktif dalam mempelbagaikan program serta aktiviti yang dilaksanakan seperti seni budaya dan keselamatan komuniti.

"KRT yang tidak aktif kebiasaannya yang sudah lama ditubuhkan dan sekiranya tidak aktif pegawai kita akan berbincang dengan Tok Penghulu siapa yang sesuai dilantik sebagai ahli jawatankuasa KRT dalam tempoh dua tahun," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan