JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS KESAN PEMANDU TOYOTA HILUX LANGGAR LAMPU ISYARAT MERAH DI MUAR

20/11/2024 09:38 PM

MUAR, 20 Nov (Bernama) -- Polis sedang mengesan pemandu Toyota Hilux yang enggan memberhentikan kenderaannya selepas melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Bakri di sini, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, berlaku insiden kejar-mengejar sejauh 180 kilometer bermula dari Jalan Bakri sehingga Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. 

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian bermula ketika kenderaan peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Muar berada di persimpangan berkenaan sebelum Toyota Hilux berwarna gelap itu melanggar lampu isyarat merah. 

"Pihak polis telah meminta pemandu terbabit untuk memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan lanjut, namun dia tidak memberikan kerjasama dan terus memecut laju bagi mengelak daripada ditahan, susulan itu, kita telah mengejar kenderaan suspek dengan bantuan daripada polis Melaka, trafik Bukit Aman serta Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Raiz Mukhliz berkata suspek berjaya meloloskan diri apabila kenderaan dipandunya menaiki tebing tinggi yang tidak boleh dilalui kenderaan polis sebelum dia memasuki laluan bertentangan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. 

Beliau berkata usaha mengesan suspek masih diteruskan dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 "Pada masa sama, kita meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan," katanya sambil menambah pihak polis sentiasa komited dalam memastikan keselamatan orang ramai dan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan