JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH TETAPKAN 28 FEB KEPUTUSAN RAYUAN DENDA MYCC TERHADAP GRAB

20/11/2024 09:40 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Feb tahun depan untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mencabar keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan cadangan denda RM86.77 juta terhadap Grab Inc dan dua anak syarikat berhubung dakwaan amalan antipersaingan oleh syarikat e-hailing terbabit.

Peguam MyCC Mervyn Lai Wei Shiung mengesahkan tarikh berkenaan kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pada Isnin lepas, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk S. Nantha Balan mendengar hujah daripada peguam MyCC dan Grab Inc serta dua anak syarikatnya, iaitu Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd. Mahkamah kemudian menangguhkan keputusan ke tarikh lain.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

MyCC merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Julai tahun lepas, dan syarikat berkenaan memperoleh perintah certiorari untuk membatalkan cadangan denda itu.

Pada Disember 2019, tiga syarikat terbabit memfailkan semakan kehakiman selepas MyCC mencadangkan denda sebanyak RM86.77 juta, mendakwa syarikat berkenaan melanggar Akta Persaingan 2010 kerana menyalahgunakan kedudukan dominan dengan mengenakan klausa sekatan terhadap pemandu, menghalang mereka daripada mempromosikan dan menyediakan perkhidmatan pengiklanan untuk pesaing syarikat itu.

Mahkamah Tinggi pada 2020, menolak permohonan Grab dan anak syarikat untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan langkah itu "pramatang" kerana keputusan yang dicadangkan belum muktamad.

Grab merayu keputusan itu pada April 2021, Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan rayuan Grab untuk mendapatkan kebenaran dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran atas meritnya.

Pada 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Mahkamah Tinggi kemudian meneruskan perbicaraan penuh untuk merit semakan kehakiman pada 2022.

Isnin lepas, peguam utama MyCC Tan Sri Tommy Thomas berhujah bahawa permohonan syarikat untuk semakan kehakiman adalah pramatang kerana syarikat berkenaan masih belum menyelesaikan proses rayuan yang diperuntukkan di bawah Akta Persaingan.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sawar yang mewakili Grab Inc dan anak syarikat berhujah bahawa dakwaan MyCC mengenai keputusan yang dicadangkan hanyalah sebahagian daripada proses penyiasatan adalah salah, dengan merujuk kepada Seksyen 36(1) Akta Suruhanjaya Persaingan yang jelas menyatakan bahawa keputusan yang dicadangkan dikeluarkan selepas siasatan selesai.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan