KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah Malaysia kepada kerajaan Laos atas kejayaan negara itu mempengerusikan ASEAN tahun ini.
Mohamed Khaled menyampaikan penghargaan Malaysia itu kepada Timbalan Perdana Menteri Laos Jen Chansamone Chanyalath yang juga Menteri Pertahanan Nasional negara tersebut dalam pertemuan kedua-dua pemimpin di Laos sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).
“Pelbagai kejayaan dicapai (Laos sebagai pengerusi ASEAN) di peringkat ASEAN sepanjang tempoh tersebut, antaranya dalam membawa domain pertahanan ASEAN ke tahap yang lebih tinggi.
“Malaysia berharap agar Laos dapat memberikan sokongan penuh kepada Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, ketika pertemuan tidak rasminya bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin sempena mesyuarat itu, Mohamed Khaled berkata beliau sempat memberi pandangan tentang bagaimana Amerika Syarikat sebagai rakan dialog dapat menyumbang kepada kestabilan keselamatan rantau Asia Tenggara.
Antaranya ialah Amerika Syarikat perlu mengiktiraf cara dan kaedah ASEAN dalam menguruskan cabaran keselamatan serantau termasuk menjadikan kepusatan (centrality) ASEAN sebagai keutamaan.
Semalam, Mohamed Khaled bersama delegasinya tiba di Laos bagi menghadiri ADMM ke-18.
Beliau berkata dalam sidang kali ini, Malaysia membentangkan cadangan untuk ASEAN memperkemas aspek Misi Bantuan Kemanusian (HADR) yang akan memberi manfaat kepada semua negara anggota dalam berdepan musibah dan bencana.
--BERNAMA