KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) yang menggariskan hala tuju lebih jelas dan ruang untuk industri itu berkembang secara holistik akan dibentangkan ke Jemaah Menteri tidak lama lagi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata dasar itu menjadi panduan bagi sektor francais negara dan seterusnya membolehkan industri berkenaan sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Beliau berkata bidang francais sebelum ini di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), namun ia kini telah dipusatkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Selain menyediakan dasar yang jelas, Ewon berkata KUSKOP menerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), giat membantu usahawan pra-francais melalui pelbagai program dan bekerjasama erat dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) untuk membawa syarikat francais tempatan ke luar negara.
“Dengan adanya dasar ini, ia dapat memacu pembangunan francais selain mewujudkan sinergi yang lebih kukuh dengan pemain industri termasuk MFA,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Ewon berkata proses libat urus bersama pihak berkepentingan bagi cadangan pindaan Akta Koperasi 1993 sedang giat dilaksanakan bagi memastikan rang undang-undang itu digarap dengan baik sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Akta Koperasi ketika ini mempunyai halangan-halangan tertentu kerana ia digubal 30 tahun lepas dan sudah tentu perlu dipinda mengikut keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata gerakan koperasi negara telah merekodkan RM64.6 bilion perolehan pada 2023 dan nilai itu dicapai lebih awal daripada sasaran ditetapkan iaitu RM60 bilion pada 2050.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM815,136,700 yang diperuntukkan kepada KUSKOP dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 13 Ahli Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA