KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Malaysia berhasrat untuk menjadi hab utama bagi pelaburan hijau dalam usaha memacu pertumbuhan mampan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata ia akan dilakukan dengan mempromosikan dasar sokongan dan memupuk kerjasama strategik melalui Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29), yang berlangsung di Baku, Azerbaijan hingga 22 Nov.
Nga, ketika menyampaikan ucapan negara pada sesi Meja Bulat Menteri mengenai Perbandaran dan Perubahan Iklim, turut menggesa masyarakat global untuk menterjemahkan idea kepada tindakan, sambil menegaskan bahawa skala cabaran iklim bandar memerlukan tindakan yang lebih hebat dan sokongan kewangan yang lebih besar.
Beliau berkata hanya terdapat 27 peratus daripada Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) di seluruh dunia pada masa ini, termasuk strategi bandar yang komprehensif.
“Kita tidak akan diingati atas apa yang telah kita katakan, tetapi atas apa yang kita lakukan dan tinggalkan untuk generasi akan datang. Kita tidak boleh mengubah masa lepas, tetapi secara kolektif, kita boleh menentukan masa depan. Jadi, mari kita lakukan bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata Malaysia memberikan sokongan teguh terhadap Deklarasi Laluan Tindakan Pelbagai Sektor (MAP) kepada Bandar Berdaya Tahan dan Sihat, sambil menambah bahawa tumpuan dalam memupuk kerjasama pelbagai sektor adalah penting untuk menangani cabaran kompleks yang disebabkan oleh perubahan iklim.
“Malah, MAP selaras dengan keutamaan negara seperti Garis Panduan Perancangan Bandar Rendah Karbon dan Berdaya Tahan Perubahan Iklim yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Nga turut menegaskan komitmen Malaysia untuk menyediakan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (NUP3), yang akan menggabungkan strategi berasaskan kesedaran iklim untuk menangani cabaran urbanisasi.
Beliau berkata KPKT sedang mengintegrasikan ciri reka bentuk berdaya tahan iklim ke dalam projek perumahan mampu milik bagi memastikan golongan miskin bandar tidak ketinggalan dalam peralihan ke bandar yang lebih hijau, di samping matlamat membina dan menaik taraf sekurang-kurangnya 100 taman awam setiap tahun untuk meningkatkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
KPKT ialah sebahagian daripada delegasi Malaysia ke UNFCCC COP29, dengan tumpuan untuk menangani cabaran perubahan iklim di tengah-tengah pembandaran yang pesat.
-- BERNAMA