AM

WARGA EMAS GENGGAM PHD PADA USIA 80 TAHUN DI USM

21/11/2024 06:10 PM

GEORGE TOWN, 21 Nov (Bernama) -- Seorang bekas jurutera warga Hong Kong berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada usia 80 tahun di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Majlis Konvokesyen ke-62 USM di sini hari ini.

John Luk Wang Kwong yang juga bekas presiden Institusi Jurutera Hong Kong berkata minatnya terhadap pelajaran dan keinginan untuk berkongsi pengetahuan mendorong beliau menyiapkan tesis bertajuk Inovasi Dalam Kelestarian Sosial.

John berkata setelah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya sebagai jurutera, pemaju hartanah dan pakar dalam litigasi, beliau memulakan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran pada 2017 untuk memberi tumpuan kepada isu perumahan yang mendesak di Hong Kong.

“Program yang menawarkan pembelajaran jarak jauh dengan kerjasama Hong Kong ini membolehkan saya menamatkan PhD dalam tempoh lima setengah tahun.

“Walaupun pengalaman ini mencabar, terutamanya daripada segi jarak dan bantuan terhad di lapangan, kejayaan ini adalah hasil komitmen saya yang tidak berbelah bahagi, selain sokongan kuat isteri saya Dr Cheung Kit Ying, 75,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun tidak berhasrat untuk meneruskan kerjaya profesionalnya yang dianggap “sudah lama berakhir”, keputusan untuk menamatkan PhD itu dibuat kerana mahu menyumbang kepada komuniti secara lebih meluas.

Penyelidikan yang bertujuan untuk menangani masalah pasaran perumahan di Hong Kong hanyalah satu sumbangan kecil, tetapi cukup bermakna kepada perbincangan berterusan mengenai pembangunan bandar dan dasar awam.

Menceritakan pengalaman mengenai sistem pembelajaran di USM, beliau melahirkan rasa bangga dengan standard tinggi universiti yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, khususnya dalam bidang pendidikan perniagaan.

“Walaupun menghadapi cabaran kerana format pembelajaran jarak jauh, termasuk akses terhad kepada sumber, saya dapat menyelesaikan kursus dengan keazaman dan fokus pada gambaran yang lebih besar,” tambahnya.

Bekerja sebagai pengarah bebas bukan eksekutif untuk syarikat awam dan pakar dalam bidang penyelesaian pertikaian, John berkata walaupun tidak berhasrat untuk menggunakan PhD itu secara langsung dalam kerjaya profesionalnya sekarang, beliau percaya penyelidikan itu akan memberi manfaat kepada Hong Kong dan menyumbang kepada pengetahuan global.

“Kisah saya ini akan menjadi contoh yang kuat bahawa masih belum terlambat untuk melanjutkan pelajaran, memberikan sumbangan bermakna dan terus memajukan diri secara peribadi dan profesional,” tambahnya yang mempunyai dua anak lelaki dan seorang cucu.

Sementara itu, selain kerjaya yang cemerlang dalam industri pembinaan, pembangunan hartanah dan undang-undang, beliau telah menjadi pelajar sepanjang hayat yang gigih dan contoh kepada semua setelah memperoleh kira-kira 18 kelayakan akademik dalam pelbagai disiplin sepanjang 50 tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan