AM

UPSI ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PERSEMBAHAN KEPADA M. NASIR

22/11/2024 09:28 PM

IPOH, 22 Nov (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan kepada penggiat seni tanah air Datuk M. Nasir sempena majlis Konvokesyen UPSI ke-26 yang akan bermula esok hingga 30 Nov. 

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata penganugerahan kepada M. Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed adalah sejajar dengan sumbangan besar beliau dalam mengangkat martabat dunia seni muzik dan mencapai tahap berprestij. 

"Sumbangan M. Nasir juga signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Md Amin berkata pengalaman M. Nasir dalam dunia seni selama empat dekad melayakkan beliau menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak tahun 2021.

Selain M. Nasir, pada sesi pertama juga akan menyaksikan penyanyi Datuk Nasharudin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q. 

Sebanyak 7,172 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada istiadat yang akan diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim. 

Konvokesyen kali ini akan menganugerahkan kepada 154 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (943), Ijazah Sarjana Muda (4,768), Diploma (755) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (552).

Perasmian majlis istiadat akan disempurnakan Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan