DUNIA

DUTA CUBA PUJI INISIATIF PRAGMATIK MALAYSIA UNTUK SELATAN GLOBAL

26/11/2024 11:46 AM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Duta Cuba ke Malaysia, Florentino Batista Gonzalez memuji dasar luar dan inisiatif strategik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan Selatan Global, sekali gus menggalakkan kerjasama lebih erat dalam kalangan negara membangun.

Beliau menyifatkan penglibatan Malaysia dengan BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) sebagai langkah yang berani dan berpandangan jauh, serta strategi yang diperlukan bagi menangani cabaran global masa kini.

“Pendekatan ini adalah langkah pragmatik sebenar untuk rakyat dan masyarakat Malaysia. Beliau (Anwar) berjaya mengenal pasti serta memanfaatkan setiap peluang baharu.

“BRICS hanyalah satu daripadanya. Ini tentang mencari alternatif dan mempunyai pilihan lain—kerana jika anda ada satu, tetapi boleh mempunyai dua, ia tentu lebih baik,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program ‘The Nation’ terbitan Bernama pada Isnin.

Gonzalez turut menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan dalam menangani cabaran bersama seperti penyakit tropika, kemiskinan, dan jurang pembangunan.

“Tiada siapa yang akan datang dan menyelesaikan masalah ini untuk kita. Ia bukan hanya mengenai Cuba atau Malaysia; ini tentang Selatan Global. Kita perlu menggabungkan usaha jika mahu menangani isu-isu ini,” katanya, sambil menyeru penggunaan collective intelligence bagi mengatasi cabaran itu.

Duta itu juga menggariskan peranan Malaysia dalam ASEAN, dengan menyatakan potensinya sebagai jambatan penting kepada hubungan antara Amerika Latin dan Asia Tenggara.

“Malaysia sangat dihormati dalam kalangan negara jiran ASEAN. Kepimpinan Malaysia diakui, dihargai dan sentiasa dinantikan, terutama ketika Malaysia memegang jawatan pengerusi,” katanya.

Beliau merujuk kepada peningkatan perdagangan dan pertukaran modal insan antara Amerika Latin dan ASEAN, serta mencadangkan agar kepimpinan Malaysia memajukan kerjasama dalam bidang seperti bioteknologi dan teknologi.

“Bukan mudah untuk bekerjasama secara sendirian dengan setiap negara, tetapi jika dapat berurusan secara langsung dengan ASEAN melalui organisasi serantau, ia menjadi lebih praktikal dan pantas,” katanya.

Sementara itu, Gonzalez turut memuji pendekatan seimbang Malaysia dalam hubungan luar, menggambarkan Malaysia sebagai “sekutu sejati.”

“Malaysia mempertahankan kepentingan rakyat dan syarikatnya. Inilah yang menjadikannya begitu tulen,” katanya sambil menyifatkan penglibatan aktif Malaysia dalam pelbagai forum pelbagai hala, termasuk APEC dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membawa peluang besar kepada negara.

“Usaha ini membawa sumber kepada rakyat, syarikat dan ekonomi Malaysia. Inilah contoh hubungan diplomatik yang hebat,” kata Gonzalez.

Duta itu turut menyoroti persamaan pendirian antara Malaysia dan Cuba dalam isu utama seperti sokongan terhadap Palestin.

“Pada Jun tahun ini, Cuba menyertai kes Afrika Selatan menentang Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Langkah ini menunjukkan bagaimana negara-negara dengan latar belakang berbeza boleh bersatu demi tujuan yang lebih besar,” katanya.

Malaysia dan Cuba menjalin hubungan diplomatik sejak 1975.

Kedutaan Cuba di Malaysia dibuka pada 1997, diikuti pembukaan Kedutaan Malaysia di Cuba pada 2001.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan