EKONOMI

DAYA TARIKAN IPO 2024 MALAYSIA BERTERUSAN, DAHULUI PASARAN SERANTAU - RAKUTEN TRADE

26/11/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia kini mendahului dari segi pasaran tawaran awam awal (IPO) di rantau ini, dengan pertambahan penyertaan pelabur institusi dan pelabur runcit, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap pasaran modal.

Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade Vincent Lau berkata prestasi lebih kukuh itu disokong oleh penilaian menarik, kawal selia yang bersifat menyokong -- Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia -- rangka kerja kerajaan bertumpuan perniagaan yang jelas, serta asas yang bertambah baik.

“Ini semua adalah faktor utama yang mendorong keyakinan baharu terhadap bursa tempatan kita dengan aliran masuk asing bersih,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Setakat ini bagi 2024, sebanyak 33 syarikat telah disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, Pasaran Utama (10), dan Pasaran LEAP (2).

Pasaran berada di landasan untuk mencapai 50 penyenaraian, dengan beberapa lagi dalam perancangan, termasuk empat di Pasaran ACE dan satu di Pasaran Utama.

Berdasarkan pendedahan draf prospektus, Rakuten Trade menjangkakan 2025 menjadi satu lagi tempoh yang memberangsangkan bagi IPO, berkemungkinan mengatasi bilangan tahun ini.

Bursa Malaysia menetapkan sasaran 50 IPO untuk tahun depan, setelah mencapai petunjuk prestasi utama bagi 2024.

Firma pembrokeran dalam talian itu juga menjelaskan penyenaraian seperti 99 Speed ​​Mart, Azam Jaya, dan Life Water yang baru disenaraikan menunjukkan minat baharu dalam kalangan pelabur runcit.

Lau berkata prospek ekonomi global yang positif, ditambah dengan asas domestik yang teguh, meletakkan pasaran ekuiti Malaysia untuk pertumbuhan mampan.

“Faktor seperti kadar faedah yang lebih rendah, langkah rangsangan China, dan prestasi kukuh pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang berkemungkinan memberikan kadar dividen 6.0 peratus, bersedia untuk melonjakkan sentimen pelabur dan memacu lagi momentum dalam pasaran ekuiti,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan