AM

MTL: JAMBATAN DITENGGELAMI AIR, 200 PENDUDUK TERPUTUS HUBUNGAN

26/11/2024 06:45 PM

GUA MUSANG, 26 Nov (Bernama) -- Kira-kira 200 penduduk Kampung Batu 6, di sini terperangkap setelah jambatan yang merupakan satu-satunya laluan ke kampung itu ditenggelami air, susulan hujan lebat sejak 6 pagi tadi.

Seorang penduduk Suzili Sulaiman, 48, berkata jambatan itu masih boleh digunakan ketika menjemput anak-anak pulang daripada sekolah tengah hari tadi, namun tidak lama selepas itu ia tenggelam akibat peningkatan mendadak paras air Sungai Galas.

“Sebuah jambatan sementara yang dibina pihak kontraktor bagi kerja-kerja pembinaan jambatan baharu yang terletak bersebelahan jambatan asal juga ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demi keselamatan, para penduduk dinasihatkan tidak menggunakan jambatan berkenaan ketika ini memandangkan arus Sungai Galas cukup deras.

“Jika keadaan mendesak, kami terpaksa menggunakan laluan kereta api yang terletak di kawasan lebih tinggi untuk merentasi Sungai Galas,” katanya.

Sementara itu, Sharulmizan Ishak, 35, yang memandu lori membawa muatan bitumen bagi kerja-kerja penurapan jalan di kampung itu berkata perjalanannya tergendala kerana jambatan besi terbabit tidak dapat dilalui.

“Saya hendak menyeberang kira-kira 1.30 tengah hari tadi tetapi jambatan itu telah tenggelam, pada masa yang sama hujan masih belum berhenti. Buat masa ini, saya hanya mampu berharap hujan akan reda dan paras air surut sedikit untuk menghantar muatan bitumen ke kampung berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama untuk menuju ke Kampung Batu 6 tidak dapat diteruskan kerana jambatan berkenaan masih ditenggelami air, selain hujan lebat di kawasan sekitar.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan