JENAYAH & MAHKAMAH

BICARA KES MUHYIDDIN DIPINDAHKAN KE MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

27/11/2024 03:48 PM

KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memindahkan perbicaraan kes yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Azmi Abdullah itu adalah berkaitan tuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Ogos lepas.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin berkata antara alasan dibentangkan pihaknya adalah terdapat isu-isu perundangan rumit dan kesulitan luar biasa yang dijangka timbul khususnya berkaitan dengan isu keperlembagaan beberapa peruntukan di dalam Akta Hasutan 1948.

“Kes ini melibatkan mantan Perdana Menteri dan mendapat liputan media yang meluas serta berkepentingan awam,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pada 4 Nov lepas, barisan peguam Muhyiddin mengemukakan permohonan untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Sebelum ini Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lepas. 

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan