KUALA NERUS, 27 Nov (Bernama) -- Hanya 10 peratus daripada 3,900 pegawai dan anggota polis Terengganu dibenarkan bercuti sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata arahan tersebut telah dikeluarkan kepada semua ketua polis daerah berkuat kuasa 25 Nov lepas.
Bagaimanapun beliau berkata sekiranya keadaan banjir menjadi kritikal, ketua polis daerah boleh membekukan cuti petugasnya serta-merta bagi memastikan keselamatan orang awam terjaga.
"Setakat ini keadaan banjir menunjukkan trend menaik tetapi berdasarkan statistik bilangan mangsa, situasinya tidaklah seteruk negeri lain seperti Kelantan.
"Bagaimanapun kita tetap bersiap siaga kerana ramalan hujan lebat berterusan hingga 29 Nov ini. Saya dah keluar arahan untuk benarkan cuti 10 peratus pegawai dan anggota namun terpulang kepada ketua polis daerah kerana mereka lebih tahu keperluan tenaga manusia di lokasi masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya P-Hailing dan Keselamatan Komuniti 2024 yang dihadiri oleh 400 orang pekerja p-hailing di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khairi berkata sebanyak 11,237 kes kemalangan telah direkodkan di Terengganu bermula 1 Jan hingga 31 Okt lepas.
Beliau berkata daripada jumlah itu 367 kes melibatkan kemalangan maut dengan angka kematian 401 orang yang sebahagian besarnya berpunca daripada faktor kecuaian manusia.
“Sebanyak 171 kes kemalangan maut ini melibatkan motosikal dengan jumlah kematian 193 orang. Sebahagian besar kes kemalangan maut direkodkan di jalan Persekutuan dan lebuh raya," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati memandu terutama pada musim hujan dan banjir ini.
-- BERNAMA