AM

NANTA LUAH RASA RASA SIMPATI KEPADA PENDUDUK TERKESAN BANJIR DI KAPIT

27/11/2024 07:15 PM

KAPIT, 27 Nov (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meluahkan rasa simpati terhadap penduduk di Rumah Dennis Langok, Amang Ulu di Jalan Selirik dekat sini yang terkesan teruk akibat bencana banjir pagi ini.

“Saya telah mengarahkan pasukan Pejabat Parlimen Kapit untuk melihat keperluan penduduk terjejas dan menyalurkan bantuan segera,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata beliau dimaklumkan bahawa beberapa rumah panjang lain di kawasan itu juga telah terjejas akibat hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras air meningkat dengan cepat, dan mengancam keselamatan penduduk.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan bersama pasukan penyelamat juga sedang berusaha sedaya upaya membantu penduduk terjejas, termasuk usaha-usaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan memastikan keselamatan mereka.

Nanta berkata September lepas beliau telah melawat rumah panjang berkenaan bagi meninjau perkembangan kerja-kerja naik taraf selepas menerima peruntukan RM1.3 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jun tahun lepas.

Beliau seterusnya meluahkan bersedih dengan kematian pesara Rev Bangau Amping, 75, selepas terperangkap dalam keretanya yang dihanyutkan arus deras ke dalam sungai.

“Saya amat bersedih, bersimpati dan berdoa agar keluarganya diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini,” katanya dan menambah dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, semua penduduk di Kapit diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengikuti arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan