SUKAN

ADELIA AZAM PERTAHANKAN GELARAN JUARA REMAJA ALL-STARS

28/11/2024 06:22 PM

PETALING JAYA, 28 Nov (Bernama) -- Pemain boling remaja negara Adelia Nur Irwan Syazalee berhasrat untuk mempertahankan gelaran terbuka wanita pada Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars Bawah 22 Tahun (B22) 2024 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid di sini.

Pemain berusia 17 tahun, yang menewaskan wakil Singapura Althea Dang 227-204, 264-207 pada perlawanan akhir tahun lepas berazam untuk mengulangi kejayaan itu apabila edisi ke-24 berlangsung dari 4 hingga 15 Dis ini.

“Terdapat ramai pencabar hebat yang kembali beraksi tahun ini. Jadi mereka tahu permainan saya, dan saya juga tahu permainan mereka, tetapi saya akan menggunakannya sebagai satu kelebihan kepada saya, ditambah dengan pengalaman yang dipelajari daripada jurulatih dan rakan sepasukan saya untuk mengekalkan gelaran berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Meskipun sibuk membuat persiapan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai bulan depan hingga awal tahun, Adelia optimis kejohanan itu tidak akan menghalangnya daripada memperoleh keputusan cemerlang.

"Kedua-duanya, kejohanan dan SPM, adalah sukar dan sangat mencabar, tetapi saya boleh mengatasinya dengan baik. Saya akan pergi ke sekolah pada waktu pagi dan meneruskan sesi latihan pada waktu petang.

"SPM adalah peperiksaan yang sangat penting, tetapi saya rasa, dengan sokongan daripada ibu bapa, jurulatih dan rakan sepasukan, saya boleh melakukannya… Saya akan cuba yang terbaik untuk berjaya dalam kedua-duanya,” tambahnya.

Sementara itu Pengurus Besar Sunway Megalanes Tan Yoke Chiang berkata kejohanan itu mengekalkan statusnya sebagai satu kejohanan boling remaja paling berprestij di rantau ini, dengan lebih 800 peserta dari 16 negara mengesahkan penyertaan pada edisi tahun ini.

“Bagi tahun ini, selain hadiah wang tunai RM200,000, kami juga menyediakan peralatan boling bernilai lebih RM100,000 untuk para peserta,” katanya.

Penolong Pengurus Pemasaran Sukan Milo Sheena Ayesha Dina Rizal berkata Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars menjadi platform terbaik bagi pemain muda negara mengasah kemahiran mereka dan menetapkan standard lebih tinggi berbanding peserta dari negara lain.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan