AM

MALAYSIA DILIHAT ANTARA NEGARA PALING AMAN, PERTUMBUHAN EKONOMI MEMBERANGSANGKAN - PM

28/11/2024 07:55 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Malaysia dilihat oleh negara luar sebagai antara negara paling aman dengan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan di rantau ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara positif itu disampaikan oleh pemimpin enam negara sepanjang lawatannya ke Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil, Korea Selatan dan China baru-baru ini.

Anwar berkata pemimpin dunia turut menyatakan bahawa Malaysia adalah negara contoh kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan agama namun mempunyai semangat kesatuan yang tinggi.

“Orang luar meneropong (Malaysia), dia cakap ini antara negara paling rumit dijaga, banyak peel (ragam), pelbagai warna kulit tapi ada semangat kesatuan dan aman," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata negara luar juga menganggap Malaysia sebagai antara negara yang pantas dalam pertumbuhan ekonomi di rantau ASEAN.

"Lindungilah perkara ini dengan segala upaya yang kita ada, pelihara keamanan dan perpaduan ini serta berusaha keras dengan penuh keberanian bagi memastikan kita bukan sahaja selamat tetapi juga tampil cemerlang sebagai sebuah negara yang hebat," katanya.

Penganjuran Putrajaya FOI oleh Kementerian Pendidikan Tinggi buat julung kalinya berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dari 27 hingga 29 Nov ini.

Ia adalah satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran selain mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual serta inovasi di peringkat serantau dan global.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan