AM

LEBIH 3,000 PENDUDUK DI SEBERANG SUNGAI KUALA NAL MULA LAKUKAN RUTIN HARIAN

03/12/2024 12:47 PM

KUALA KRAI, 3 Dis (Bernama) -- Lebih 3,000 penduduk di lima kampung di seberang Sungai Kuala Nal di sini mula melakukan aktiviti harian selepas hampir seminggu terkandas akibat banjir.

Lima kampung berkenaan ialah Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Buyong, Tako Blok dan Tako Estet.

Penduduk Kampung Pasir Kelang Baru, Ain Syafiqah Mohd Zuki, 25, berkata berikutan air sungai Kuala Nal mula surut, dia dapat melakukan rutin harian seperti biasa dan membeli barangan keperluan asas.

"Air masih lagi deras tetapi penduduk kampung boleh gunakan perkhidmatan bot pada harga RM2 sehala untuk menyeberangi Sungai Nal ini untuk ke bandar Kuala Krai.

"Hampir seminggu kami terkepung di kampung ini, keperluan asas pun ada yang sudah habis jadi saya boleh keluar ke bandar untuk beli beras, air mineral dan sebagainya," katanya kepada Bernama hari ini.

Pemandu lori, Nabawi Ismail, 39, bersyukur apabila banjir semakin pulih dan perkhidmatan bot dapat digunakan untuk merentasi Sungai Nal kerana memudahkannya keluar bekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pasir Kelang Roslan Mamat berkata banjir pada Rabu lepas menyaksikan satu pusat pemindahan sementara dibuka di Pasir Kelang dengan menempatkan 170 orang daripada 49 keluarga.

"Semuanya berada dalam keadaan baik (PPS) dan bekalan barangan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencukupi untuk kegunaan mangsa banjir," katanya.

Menurut Portal Info Bencana JKM, setakat 12 tengah hari sebanyak lima PPS dibuka di Kuala Krai iaitu Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Sekolah Menengah Kebangsaan Keroh, Masjid Kuala Pertang, Balai Raya Sungai Tasan Kuala Pertang dan Madrasah Manek Urai Lama dengan menempatkan 813 orang daripada 255 keluarga.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan