AM

LEBIH 4,000 PENYAKIT BERJANGKIT DIKESAN DI PPS SELURUH KELANTAN - DR ZAINI

03/12/2024 04:50 PM

TUMPAT, 3 Dis (Bernama) -- Sebanyak 4,894 kes penyakit berjangkit dilaporkan dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Kelantan setakat semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata penyakit tertinggi dikesan adalah jangkitan pernafasan sebanyak 2,923 kes diikuti dengan jangkitan kulit 1,367 kes. 

Beliau berkata penyakit lain termasuk gejala gastroenteritis akut sebanyak 116 kes, konjunktivitis (99) dan demam virus (376). 

“Kesemua kes telah dirawat oleh pasukan perubatan di PPS dan keadaan kini adalah terkawal.

“Kebanyakan kes dikesan di PPS daerah Pasir Mas, Machang dan Tumpat,” katanya kepada pemberita di PPS Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjung di sini hari ini.

Dr Zaini berkata beberapa pasukan daripada jabatan telah digerakkan ke seluruh PPS bagi memantau keadaan mangsa banjir, khususnya memeriksa tahap kesihatan mereka yang dijangkiti penyakit daripada berjangkit kepada mangsa banjir lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan