EKONOMI

AKPK, INSTITUSI KEWANGAN DAN MEDIA BEKERJASAMA PROMOSI KESEDARAN KEWANGAN

04/12/2024 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menganjurkan program “Row and GROW Towards Financial Resilience” baru-baru ini, bertujuan menggalakkan kerja berpasukan, mengukuhkan hubungan dan memupuk persahabatan dengan penyedia kewangan.

Selain menguji ketahanan fizikal, program itu turut menekankan kerja berpasukan dan kemampanan untuk mencapai matlamat bersama.

Tarikan utama program itu ialah perlumbaan perahu naga yang membabitkan 200 peserta daripada institusi kewangan, rakan media, Sahabat AKPK dan kakitangan AKPK.

“Kemenangan tidak hanya ditentukan dengan kejayaan melepasi garisan penamat.

“Peserta juga akan diadili menerusi kreativiti mereka mencipta dan melaung-laungkan kata-kata semangat yang mengandungi mesej kesedaran kewangan, selain perancangan strategik dan semangat kerja berpasukan sepanjang perlumbaan berlangsung,” katanya dalam kenyataan.

Setiap pasukan diberi nama berdasarkan satu daripada huruf dalam perkataan “GROW” bersempena siri buku celik kewangan terbitan terkini AKPK yang menyediakan panduan penting disesuaikan dengan cabaran kewangan yang dihadapi dalam empat peringkat hidup berbeza iaitu belia, memasuki dunia pekerjaan, membina keluarga dan rancangan persaraan.

Siri pendidikan kewangan yang mempunyai empat buku itu ialah “Gaining Knowledge” (G), “Realising Potential” (R), “Optimising Resources” (O) dan “Wealth Wisdom” (W). 

Program “Row and GROW Towards Financial Resilience” adalah mengenai keseronokan dan menggalakkan kebersamaan antara agensi itu dan pihak berkepentingan dalam misi bersama untuk memperkasakan komuniti dari segi kewangan di semua peringkat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan