DUNIA

SAHAM UTILITI, PERLADANGAN PACU BURSA DITUTUP PADA PARAS TERTINGGI HARIAN

03/12/2024 07:44 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian pada Selasa, dipacu oleh belian semasa harga rendah dalam kaunter wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh saham utiliti dan perladangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.48 mata atau 0.72 peratus  kepada 1,606.96 daripada 1,595.48 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.84 mata lebih tinggi kepada 1,599.32 dan mencapai paras terendah pada 1,594.07 sebelum meningkat kepada paras tertinggi hari ini.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 683 kepada 432, dengan 483 kaunter tidak berubah, 817 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menokok kepada 3.32 bilion unit bernilai RM3.30 bilion daripada 2.83 bilion unit bernilai RM2.37 bilion pada Isnin.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI menerima sokongan daripada peningkatan saham utiliti dan kaunter minyak dan gas, yang dipacu oleh situasi industri yang semakin baik dan permintaan lebih kukuh. 

“Pasaran seterusnya disokong oleh sentimen positif daripada Wall Street (dalam tempoh semalaman), terutama dalam sektor teknologi berikutan sekatan eksport Amerika Syarikat (AS) ke atas 140 syarikat China,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya sektor pusat data di samping indeks utiliti, pembinaan dan teknologi Bursa Malaysia adalah antara yang mencatat prestasi tinggi.

Beliau berkata sektor pusat data yang berada di landasan baik untuk mencapai sasaran yang dirancang dan berkembang seperti dijadualkan mengikut laporan syarikat pada suku ketiga, dijangka memberi impak positif kepada sektor lain selain teknologi.

“Selain itu, jumlah dagangan mencecah 3.3 bilion saham, mencerminkan penyertaan pasaran yang aktif dan keyakinan pelabur yang kukuh di Bursa Malaysia.

“Keadaan ini menunjukkan minat yang tinggi daripada pelabur runcit dan institusi, menunjukkan keyakinan dan mudah tunai berikutan pelabur membuat persediaan untuk meraih potensi keuntungan dalam sektor pertumbuhan tinggi,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun FBM KLCI telah melepasi paras 1,600, langkah berwaspada perlu dilaksanakan berikutan strategi perdagangan asing yang tidak menentu.

Beliau yakin sekiranya FBM KLCI boleh mengekalkan paras melebihi 1,600 untuk tempoh berlanjutan, prospek tempoh sederhana terhadap indeks itu kelihatan positif.

“Bagaimanapun buat masa ini indeks petunjuk pasaran dijangka berubah-ubah dalam julat 1,590-1,610 untuk sepanjang minggu ini,” katanya kepada Bernama

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok 10 sen kepada RM10.18, Public Bank menambah empat sen kepada RM4.51 dan IHH naik dua sen kepada RM7.22 manakala CIMB tidak berubah pada RM8.21 dan Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM13.38.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut satu sen kepada tiga sen, Velesto Energy tidak berubah pada 15.5 sen manakala JCY International meningkat 4.5 sen kepada 48.5 sen, Genetec Technology naik dua sen kepada RM1.25 dan MYEG meningkat 1.5 sen kepada 90 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 84.18 mata kepada 12,232.21, Indeks FBMT 100 naik 82.90 mata kepada 11,920.99 dan Indeks FBM 70 meningkat 116.97 mata sehingga 18,018.42.

Indeks FBM Emas Syariah pula naik 89.75 mata kepada 12,200.03 dan Indeks FBM ACE menambah 66.97 mata kepada 5,189.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 44.58 mata kepada 19,091.20 manakala Indeks Perladangan melonjak 63.45 mata kepada 7,735.01.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula naik 1.25 mata kepada 174.82 manakala Indeks Tenaga berkurangan 7.06 mata kepada 801.55.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.94 bilion unit bernilai RM3.06 bilion daripada 1.55 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Isnin. 

Jumlah dagangan waran menokok kepada 955.66 juta unit bernilai RM92.25 juta daripada 886 juta unit bernilai RM80.89 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 422.23 juta unit bernilai RM153.55 juta daripada 395.42 juta unit bernilai RM127.40 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 270.53 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (318.69 juta), pembinaan (109.67 juta), teknologi (356.83 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (121.92 juta), hartanah (222.37 juta), perladangan (48.13 juta), REIT (15.57 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (250.48 juta), penjagaan kesihatan (71.12 juta), telekomunikasi dan media (34.28 juta), pengangkutan dan logistik (24.71 juta), utiliti (310.14 juta), dan amanah perniagaan (70,000).

-- BERNAMA

  

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan