AM

TEKUN NASIONAL SALUR RM149.9 JUTA KEPADA 7,166 USAHAWAN KAUM INDIA SEJAK 2019 - SEPT 2024

03/12/2024 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) menyediakan pembiayaan berjumlah RM149.9 juta kepada 7,166 usahawan kaum India sejak 2019 sehingga September 2024.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata pihaknya telah menjalankan pelbagai program bagi membantu usahawan kaum India pada tahun ini menerusi pelbagai agensi di bawah kementerian.

Antaranya seperti program Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjumlah RM50 juta dengan seramai 2,992 orang Sahabat AIM menerima kelulusan pembiayaan berjumlah RM27.78 juta setakat Oktober lepas.

KUSKOP turut menjalankan program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) berjumlah RM50 juta dengan pembiayaan bernilai RM34.91 juta kepada 405 usahawan dalam tempoh sama.

"Selain itu, program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) di bawah SME Corp berjumlah RM6 juta dengan sebanyak 20 syarikat menerima kelulusan geran berjumlah RM1.5 juta setakat Oktober lepas.

"Program SPUMI Goes Big oleh TEKUN Nasional berjumlah RM30 juta dengan pembiayaan yang diluluskan bernilai RM11.62 juta melibatkan seramai 271 usahawan dalam tempoh itu," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Dewan Negara hari ini.

KUSKOP menjawab soalan Senator Datuk A Kesavadas Nair berkenaan jumlah dana TEKUN yang disalurkan kepada usahawan kaum India sejak 2019 hingga 2023 secara terperinci. 

Kementerian itu turut memaklumkan pihaknya juga telah mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak seperti agensi dan badan bukan kerajaan bagi meningkatkan hebahan dan capaian terhadap program dan inisiatif keusahawanan yang disediakan untuk usahawan kaum India.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan