KLANG, 5 Dis (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang di sini hari ini.
Ketibaan Sultan Selangor pada 6 petang disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim.
Sultan Sharafuddin berkenan bertitah mengingatkan ahli jawatankuasa masjid supaya sentiasa mengambil langkah proaktif bagi membendung amalan ajaran sesat supaya tidak bertapak di masjid berkenaan.
Baginda bertitah masalah ajaran sesat ketika ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja mencemarkan kesucian Islam malah mampu memecahbelahkan perpaduan umat.
"Penyimpangan akidah adalah satu ancaman serius yang tidak boleh dipandang remeh kerana masalah itu ibarat 'api dalam sekam' yang boleh marak tanpa disedari.
"Dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam begitu bermahajaralela menyebabkan umat Islam mudah sesat dan terjerumus ke dalam ajaran-ajaran menyeleweng," titah baginda.
Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan harapan agar pembinaan masjid itu di samping rumah-rumah ibadat lain di kawasan sekitar, bukan sahaja dapat menjadi lambang perpaduan malah sebagai mercu tanda dan pusat tarikan pelancongan utama di Selangor.
"Adalah menjadi hasrat dan harapan Beta bahawa dengan terbinanya rumah-rumah ibadat pelbagai agama di Bandar Raya Diraja Klang ini, akan dapat membentuk persefahaman serta perasaan hormat-menghormati antara penganut pelbagai agama di Bandar Raya Diraja Klang khususnya dan di negeri Selangor amnya," titah baginda.
Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negeri ini supaya sentiasa memberikan tumpuan terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan kerana khutbah itu berperanan mewakili suara khalifah (pemimpin) bagi menyampaikan ingatan dan nasihat kepada umat Islam.
"Khutbah berperanan sebagai wadah ilmu dan membuat seruan kepada umat Islam untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asha'irah dan Maturidiah.
"Khutbah adalah sebagai medium bagi mengajak umat Islam untuk sentiasa hidup harmoni, saling hormat-menghormati dan mementingkan perpaduan," titah baginda.
Pada majlis itu, Sultan Sharafudin turut berkenan menyampaikan empat anugerah masjid terbaik iaitu Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak bagi kategori pusat ibadah manakala Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong bagi kategori pusat ilmu Islam.
Selain itu, Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya menerima anugerah keprihatinan setempat dan Masjid As Salam, Bukit Sentosa, Hulu Selangor bagi kategori pusat dakwah.
Anugerah Masjid Terbaik Negeri Selangor 2024 pula menjadi milik Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Sepang yang juga telah menerima pengiktirafan Masjid Hijau di peringkat kebangsaan.
-- BERNAMA