KOTA KINABALU, 7 Dis (Bernama) -- Konsep bersifat universal merentasi sempadan agama dan bangsa wajar dijadikan prinsip utama dalam melaksanakan agenda pembangunan masyarakat serta pembinaan negara, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Beliau berkata konsep itu pasti berupaya meminimumkan pergeseran dan pertelingkahan antara kelompok dalam entiti masyarakat majmuk selain mampu membangunkan masyarakat dan negara ke tahap terbilang tanpa ada perselisihan.
"Kita harus hidup aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberikan komitmen penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
"Kebersatuan sentiasa diakui menjadi tunjang kukuh kepada lonjakan sebarang usaha ke arah kegemilangan. Demi Malaysia, kita perlu bersama meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan individu atau kaum tertentu.
"Semoga kemakmuran dan kerjasama antara kaum sentiasa pada tahap optimum, seterusnya diwarisi oleh generasi baharu dalam keadaan aman, makmur dan membangun," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-26 di sini hari ini.
Seramai 4,493 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah pada majlis konvokesyen itu yang dijadual berlangsung selama empat hari bermula hari ini.
Juhar yang juga Canselor UMS mahu graduan universiti itu terus belajar dan meningkatkan diri kerana pendidikan tidak berakhir di menara gading selain perlu melatih kemahiran berkomunikasi secara baik untuk menyampaikan idea dengan jelas, berkesan dan penuh yakin.
Beliau turut menasihatkan graduan supaya tidak takut mencuba sesuatu yang baharu meskipun terdapat risiko kegagalan kerana ia peluang untuk belajar dan berkembang.
"Jangan berputus asa. Teruskan berusaha dan ambil setiap peluang untuk memperbaiki diri," katanya sambil mengingatkan para graduan menyeimbangkan antara kehidupan dan kerjaya serta tidak melupakan kesejahteraan mental serta fizikal.
Dalam pada itu, Juhar juga mahu para graduan UMS kembali menyumbang kepada universiti dan masyarakat melalui pengetahuan, waktu atau sumber bagi membantu golongan memerlukan.
-- BERNAMA