AM

BANJIR : TIGA KAMPUNG DI GUA MUSANG TERIMA DUA PPS BAHARU

08/12/2024 07:23 PM

GUA MUSANG, 8 Dis (Bernama) -- Kira-kira 500 penduduk di Kampung Batu 5, Kampung Batu 6 dan Kampung Batu 7, di sini, yang merupakan kawasan sering terputus hubungan akibat jambatan di laluan utama ditenggelami limpahan air sungai setiap kali hujan lebat, menerima dua pusat pemindahan sementara (PPS) baharu. 

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata pembinaan fasiliti itu, yang menjadikan jumlah keseluruhan PPS di jajahan berkenaan 56, dilakukan di kawasan tinggi serta bebas banjir selain dilengkapi pelbagai barangan keperluan dan sedia diduduki penduduk terjejas.

"Kita akan cuba dengan sebaiknya menyediakan persekitaran yang selesa untuk mangsa terjejas banjir yang tinggal di PPS berkenaan,” katanya kepada pemberita di Kampung Batu 5 di sini hari ini. 

Kua Eh Say, 60, dari Kampung Batu 5, pula berkata dia gembira dan bersyukur kerana akhirnya kawasan itu menerima kemudahan tersebut sebagai persediaan jika berlaku banjir pada musim tengkujuh ini.

Dia berkata PPS yang lengkap dengan ruang memasak serta tandas itu akan memberi keselesaan selain memudahkan penghuni terutama golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas.  

Bagi Mohd Asri Mustapha, 51, pembinaan PPS itu memberi kelegaan terutama kepada penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Galas dan kawasan rendah. 

“Kampung kami memang saban tahun dilanda banjir pada musim tengkujuh ekoran limpahan air Sungai Galas dan kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri berpindah ke kawasan yang lebih tinggi meskipun terpaksa meredah hutan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan