EKONOMI

SURUHANJAYA SEKURITI BERI AMARAN SURAT PELABURAN PALSU GUNA NAMA SC

09/12/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai mengenai surat dan e-mel palsu yang kononnya daripada suruhanjaya tersebut.

SC berkata surat dan e-mel penipuan ini dipercayai berkait dengan skim pelaburan haram yang meminta bayaran daripada pelabur, kononnya bagi pihak SC.

“Terdapat juga dakwaan oleh penipu yang menyamar sebagai pihak SC untuk memperdaya mangsa mempercayai bahawa mereka akan dapat memulihkan kerugian yang dialami dengan sesuatu ‘bayaran’.

"SC ingin menyatakan bahawa ini adalah representasi palsu," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai badan kawal selia, SC berkata ia tidak menyokong sebarang skim pelaburan atau meminta wang daripada orang ramai dengan cara sedemikian dan memandang serius perkara itu.

SC telah mengambil langkah segera, termasuk membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan memasukkan entiti yang terlibat ke dalam Senarai Makluman Pelaburnya di www.sc.com.my/investor-alert-list.

“SC ingin menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan mengesahkan sebarang tawaran pelaburan melalui Investment Checker SC (Penyemak Pelaburan SC) di www.sc.com.my/investment-checker.

“Jika anda menerima sebarang permintaan untuk pembayaran yang mendakwa mereka daripada SC atau kakitangannya, sila hubungi Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di aduan@seccom.com.my atau hubungi 03-6204 8999 untuk mengesahkan atau melaporkannya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan